Jumaat, 23 Oktober 2015 | 9:56am

Transformasi Fazura dalam 'langit cinta' temui peminat Januari ini


PELAKON, Fazura. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Filem adaptasi novel 'Langit Cinta' yang akan ditayangkan di pawagam awal Januari depan, buat julung kalinya menampilkan sisi lakonan berbeza pelakon Nur Fazura Sharifuddin.

Pelakon itu yang lebih dikenali sebagai Fazura berkata, jika sebelum ini semua filem lakonannya tertumpu kepada karakter gadis 'gedik' bersifat materialistik dan mengenakan solekan yang tebal, wataknya di dalam filem itu adalah sebaliknya.

"Dalam filem ini, pengarah Osman Ali benar-benar 'mentransformasikan' saya dengan membuang jauh karakter wanita bercita rasa tinggi kepada wanita kampung bernama Khadijah yang memakai baju kurung dan berkain batik.

"Selain itu, bukan sahaja watak mengandung dan melahirkan anak, saya juga perlu memainkan watak dipukul dan hampir diperkosa yang sememangnya mencabar kemahiran lakonan saya," katanya dalam sesi santai Fazura bersama media, di sini.

Katanya, watak Khadijah menggambarkan seorang wanita yang bersemangat tinggi dan tidak sesekali mengalah.

Langit Cinta yang diadaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashari berkisarkan kisah percintaan dua darjat antara Khadijah dan seorang hartawan, Alif Zulkarnain lakonan Keith Foo yang penuh liku.

Filem itu turut dibintangi Farid Kamil, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Dian P Ramlee.

Mengenai perkembangan terbarunya, Fazura juga bakal tampil dalam rancangan realiti, 'Facing Up To Fazura' musim kedua di saluran E! yang memaparkan lebih banyak konflik mengenai perjalanan kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan usahawan dalam satu masa.

"Ia bukanlah satu perkara mudah apabila setiap gerak-geri saya dirakam setiap masa untuk dipaparkan pada orang ramai lebih-lebih lagi ditayangkan di seluruh Asia tetapi kali ini saya lebih tenang dan bersifat terbuka untuk berkongsi banyak perkara kepada umum," katanya.

Selepas kejayaan rancangan itu pada musim pertama tahun lalu, para peminatnya terus memberi sokongan penuh kepadanya.

Satu-satunya rancangan realiti mengisahkan kehidupan seorang artis di Malaysia terbitan NBCUniversal International Networks itu bakal ditayangkan secara rasmi pada 1 November ini di Astro, saluran 712 pada 10 malam. - BERNAMA

Berita Harian X