Jumaat, 23 Oktober 2015 | 5:10pm

Bajet 2016 peruntuk RM267.2b, berbanding RM260.7b peruntukan dipinda 2015

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM267.2 bilion diperuntukkan untuk Bajet 2016 berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Berucap membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata daripada jumlah itu RM215.2 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan RM52 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah peruntukan mengurus, RM70.5 bilion adalah untuk emolumen dan RM36.3 bilion bagi untuk perkhidmatan dan bekalan.

"Sebanyak RM106.6 bilion merupakan pemberian dan kenaan bayaran tetap," katanya.

Bagi pembelian aset, sebanyak RM761 juta diperuntukkan manakala RM1 bilion lagi untuk perbelanjaan lain.

"Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi, sebanyak RM30.1 bilion, diikuti sektor sosial RM13.1 bilion, yang merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan rakyat," katanya.

Najib berkata, bagi sektor keselamatan, sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan dan selebihnya diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak RM1.6 bilion dan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

"Bagi tahun 2016, kutipan hasil kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM225.7 bilion, atau peningkatan sebanyak RM3.2 bilion berbanding 2015," katanya.

Najib berkata, dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan kerajaan, defisit fiskal kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada tahun depan. - BERNAMA

Berita Harian X