Jumaat, 23 Oktober 2015 | 6:39pm

Pekerja kebun mengaku tak bersalah cuba bunuh pegawai kastam

 

KANGAR: Seorang lelaki berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan cuba membunuh tiga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, pada 9 Oktober lalu.

Pengakuan itu dibuat Shakirudin Salim, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim, sekali gus meminta dibicarakan.

Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 24 tahun yang turut ditahan berhubung kes sama, dibebaskan dengan bon mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Shakirudin, yang juga seorang pekerja kebun didakwa cuba membunuh Abdullah Ayob, Mohd Safawi Rusdi dan Mat Zoher Mohd Saad, dengan cara melanggar belakang kereta milik JKDM jenis Honda Odyssey bernombor pendaftaran KDG1842, sehingga terbabas dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 24 Jalan Titi Tinggi di Jalan Padang Besar- Kangar, di sini, kira-kira jam 4.25 pagi pada 9 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh dua penjamin warganegara, sebelum menetapkan 1 Disember depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Berita Harian X