Sabtu, 24 Oktober 2015 | 6:29pm

GAGASAN sambut baik bajet untuk pendidikan

SETIAUSAHA Agung GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad.

KUALA TERENGGANU: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) menyambut baik Bajet 2016 untuk sektor pendidikan walaupun berlaku penurunan peruntukan sebanyak RM14.7 bilion berbanding peruntukan dalam Bajet 2015.

Setiausaha Agung GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, walaupun peruntukan Bajet 2016 sederhana dan mencabar, namun pihaknya yakin ia mampu memacu ekonomi negara khasnya di dalam persediaan melangkah sebagai negara maju tahun 2020.

"Untuk sektor pendidikan sebanyak RM41.3 bilion yang diperuntukkan pada bajet itu, diharap mampu dimanfaatkan sebaik mungkin khasnya dalam mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

"Berkaitan dengan kelulusan pembinaan sekolah menengah sebanyak 27 buah, GAGASAN mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengambil kira hasrat mentransformasi pendidikan tingkatan enam dengan memberikan tumpuan agar sekurang-kurangnya setiap negeri diperuntukkan sebuah sekolah tingkatan enam mod 1," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya begitu juga pembinaan sekolah rendah haruslah dibina berdasarkan unjuran bilangan murid di sesebuah kawasan.

Katanya, GASASAN mengharapkan peruntukan sebanyak RM135 juta untuk program memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris, sebahagian besarnya diperuntukan kepada pembinaan modul komunikasi dan latihan kepada guru-guru berkaitan.

"Kita berpendapat tumpuan kepada memberikan latihan semula kepada guru-guru dan latihan khas kepada guru-guru muda, mampu mempercepatkan proses penguasaan bahasa tersebut di kalangan murid khasnya di luar bandar.

Syed Anuar berkata, pihaknya juga mengharapkan peruntukan RM500 juta untuk membangun dan menyelenggara fasiliti pendidikan sebahagiannya ditumpukan kepada membaik pulih sistem pendawaian elektrik khasnya di sekolah-sekolah yang berusia melebihi 20 tahun agar insiden kebakaran dapat dielak.

Mengenai peruntukan di bawah mentransformasikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pula Syed Anuar berkata, pihaknya melihat ia adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mempersiapkan 60 peratus tenaga kerja mahir dalam bidang itu menjelang tahun 2020.

Katanya, peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk 545 buah institiut teknikal dan vokasional dan penubuhan jawatankuasa kemahiran industri ditambah dengan perutukan RM585 juta untuk pembelian peralatan latihan TVET dilihat mampu merealisasikan hasrat tersebut sebagaimana yang telah diungkapkan di dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

-- BERNAMA

Berita Harian X