Sabtu, 24 Oktober 2015 | 6:51pm

Kenaikan cukai golongan kaya bantu jurang pendapatan negara

ORANG ramai menghantar borang BE untuk cukai pendapatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada golongan kaya, suatu langkah yang bertujuan meningkatkan struktur cukai pendapatan individu sekali gus akan membantu mengurangkan kekurangan pendapatan negara, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

"Ia adalah langkah kerajaan yang tidak dijangkakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan peningkatan cukai pendapatan antara 1 dan 3 peratus.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin yang mempunyai pendapatan mulai RM600,001 hingga RM1 juta, akan dinaikkan satu peratus kepada 26 peratus berbanding 25 peratus sedia ada.

Bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta, cukai yang dikenakan akan lebih tinggi, sebanyak tiga peratus kepada 28 peratus mulai 2016 berbanding 25 peratus sekarang.

"Walaupun ia hanya membabitkan satu peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini, namun ia membantu mengurangkan jurang pendapatan di negara ini," katanya kepada Bernama selepas Forum Perbincangan Pasca Bajet 2016 di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kadar cukai pendapatan tetap bagi individu bukan pemastautin akan dinaikkan sebanyak tiga peratus kepada 28 peratus berbanding 25 peratus yang dikenakan pada masa ini.

Muhammed berkata, secara keseluruhannya langkah yang diambil dalam bajet itu dipuji, namun peruntukan yang lebih kecil untuk pembangunan 'agak membimbangkan'.

"10 tahun lalu, peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah kira-kira 30 peratus (daripada jumlah perbelanjaan), kini angka itu hampir separuh daripada itu. Jika kita ingin menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kita perlu berbelanja besar untuk pembangunan," katanya.

Bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM52 bilion untuk pembangunan, tinggi sedikit berbanding RM48.5 bilion pada 2015.

Mengenai bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), beliau percaya ia hanya suatu langkah sementara, namun kerajaan perlu memastikan langkah itu sampai ke kumpulan sasaran dan memberi manfaat seperti yang diingini.

Penuntut Peringkat Ijazah Kedoktoran Cornell University, Dr Nur Ain Shahrier juga bersetuju dengan pendapat Muhammed mengenai pembayaran BR1M, namun berkata langkah yang lebih mampan perlu dilakukan untuk kumpulan 40 ke bawah.

"Kita perlu tahu kesan berganda daripada perbelanjaan penerima, sama ada mereka membelanjakannya untuk sesuatu yang lebih produktif untuk pertumbuhan ekonomi atau meningkatkan taraf hidup mereka.

"Pelaksanaan perlu diurus dengan lebih baik, dan pangkalan data penerima perlu dipantau," katanya.

"Perlu ada ketelusan dalam pelaksanaan BR1M,"

Dalam perkembangan lain, Muhammed mencadangkan supaya insurans pengangguran diperkenalkan bagi melindungi kesejahteraan pekerja.

"Ketika ekonomi sederhana, penggunaan juga sederhana, syarikat tidak lagi mewah seperti sebelumnya, pekerja perlu dilindungi," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X