Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:08pm

Institusi pendidikan ejen transformasi sosial terbaik: Canselor UUM

Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan) kepada Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Syed Ali Alattas (kiri) pada Majlis Konvokesyen ke-28 UUM hari ini.- Foto BERNAMA

SINTOK: Institusi pendidikan sudah membuktikan kepentingannya sebagai ejen transformasi sosial yang terbaik dalam melakukan perubahan positif untuk kebaikan semua.

Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, pendidikan mampu membentuk perwatakan manusia menjadi lebih baik, santun, bermoral dan beradab.

Berpandukan pada falsafah pendidikan kebangsaan, katanya, matlamat pendidikan di negara ini adalah ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna.

"Insan yang baik sepatutnya secara automatis menjadi warga negara Malaysia yang baik. Tambahan pula anda adalah peratusan kecil yang berpeluang menjejaki pengajian universiti.

"Dalam konteks global, pendidikan dilihat sebagai usaha untuk memenuhi empat tuntutan kehidupan, iaitu 'learn to know, learn to do, learn to be, and learn to live together'," katanya pada Majlis Konvokesyen ke-28 UUM hari ini.

Tunku Puteri Intan berkata Rukun Negara yang terbentuk pada tahun 1970 bertujuan untuk meletakkan seseorang dalam acuan sosial perpaduan, kemakmuran dan kebahagiaan.

Graduan juga diingatkan tentang rukun kelima dalam Rukun Negara mengenai kesopanan dan kesusilaan.

Beliau turut menyeru agar graduan UUM terus memupuk kesepaduan sosial, memupuk rasa kekitaan sebagai Bangsa Malaysia dan mewariskan sebuah tamadun yang benar-benar berakar kepada lima prinsip Rukun Negara.

Pada majlis itu, Tunku Puteri berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Perniagaan kepada Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Mohamed Alattas.

Beliau turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi Antarabangsa kepada Pengerusi Institut Penyelidikan CIMB Asean, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Majlis konvokesyen bermula hari ini sehingga 28 Oktober menyaksikan 6,709 graduan menerima ijazah masing-masing membabitkan 1,535 pasca siswazah, manakala 5,174 membabitkan penerima Ijazah Sarjana Muda.

-- BERNAMA

Berita Harian X