Ahad, 25 Oktober 2015 | 6:54pm

Bajet 2016 bantu penyelidik komersialkan produk

MELAKA: Peruntukan berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Bajet 2016 kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilihat berupaya membantu meningkatkan peratus pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata peruntukan itu juga secara tidak langsung akan menjayakan matlamat Tahun Pengkomersilan Malaysia, pada tahun hadapan.

"Saya pasti peruntukan ini dapat membantu lebih ramai penyelidik untuk mengkomersilkan produk yang dihasilkan melalui pelbagai agensi di bawah MOSTI," katanya selepas merasmikan penutupan Pameran Teknologi Kejuruteraan 2015, di Universiti Multimedia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, peruntukan berkenaan juga dilihat akan membantu negara untuk mencapai 360 produk penyelidikan yang dikomersilkan menjelang 2020 menerusi Tahun Pengkomersilan MOSTI yang dilancarkan tahun lalu.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah MyRIS Gold kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor bagi kategori sekolah dan University of Nottingham Malaysia Campus (kategori institusi pengajian tinggi).

Anugerah World Invention Intellectual Property Association pula dimenangi Universiti Multimedia. - BERNAMA

Berita Harian X