Isnin, 26 Oktober 2015 | 12:01am
INOVASI pelajar Politeknik Muadzam Shah juga mengetengahkan cermin sisi pintar yang boleh mengurangkan titik buta.

Rekaan kereta 'kala jengking' bawa tuah

REKA bentuk 'body kit' berinspirasikan kala jengking pada rekaan kereta PROTON 'Telson' berjaya membawa tuah kepada 18 pelajar Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang, apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Inovasi PROTON Politeknik (PIPPo) 2015, baru-baru ini.

REKA bentuk 'body kit' berinspirasikan kala jengking pada rekaan kereta PROTON 'Telson' berjaya membawa tuah kepada 18 pelajar Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang, apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Inovasi PROTON Politeknik (PIPPo) 2015, baru-baru ini.

Kreativiti pelajar terbabit mengubah kereta Proton Suprima S milik PROTON, menyerlah dengan paparan rekaan berkonsepkan minimalis dan aerodinamik, sekali gus mengalahkan 11 pasukan lain.

Tempat kedua dimenangi Politeknik Sultan Abdul Halim Mua'azam Shah, Kedah dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam menduduki tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kian Ching.

PIPPo 2015 adalah antara pengisian program Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia (HEWM) 2015 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ahli pasukan PMS, Mohd Faiz Khamis, berkata komitmen dan pengorbanan ahli pasukan yang sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan projek itu mendorong kepada kejayaan pasukannya.

PELAJAR menggunakan kertas dan papan lapis bagi menghasilkan bentuk aerodinamik pada bahagian belakang dan sisi kereta.

Selain itu, katanya, pemilihan serangga pemangsa sebagai konsep rekaan kereta turut memberi kelebihan kepada pasukan PMS untuk meraih kemenangan.

"Kami menggunakan bahan seperti kertas dan papan lapis untuk menghasilkan bentuk aerodinamik pada bahagian belakang dan sisi kereta, selain memperkenalkan cermin sisi pintar yang boleh mengurangkan titik buta (blind spot).

"Rekaan dalaman kereta pula lebih bersifat mesra pengguna, yang mana tempat duduk boleh dipusingkan dan diletakkan meja yang sesuai untuk mereka yang berkeluarga, sekali gus memberi keluasan maksimum," katanya.

PMS diwakili pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automasi), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Produk) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Pembuatan Automatif).

Berita Harian X