Isnin, 26 Oktober 2015 | 2:41pm

80 negara sertai perahu layar dunia Langkawi

KHAIRY bersama pelayar negara pada majlis pelancaran ISAF YWC 2015 di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KHAIRY bersama pelayar negara pada majlis pelancaran ISAF YWC 2015 di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Seramai 446 pelayar muda dari 80 negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF YWC) di Langkawi, Kedah dari 27 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim yang juga Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh persatuan itu dengan kerjasama ISAF turut membabitkan penyertaan 121 jurulatih dan pegawai pasukan dari negara yang bertanding.

Antara negara yang bakal mengambil bahagian ialah Brazil, Argentina, Mexico, Rusia, Afrika Selatan selain penyertaan dari beberapa negara Eropah seperti Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Belanda, Jerman dan Perancis.

"Sebanyak sembilan acara akan dipertandingkan dengan lima acara utama dijangka menjadi tumpuan iaitu Laser Radial, RSX, 29er, SL16 dan International 420," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yakin kejohanan berkenaan yang diadakan sejak 1971 di Livorno, Itali itu adalah pentas pendedahan terbaik untuk pelayar muda negara untuk menimba pengalaman bersaing dengan pelayar negara lain daripada seluruh dunia.

"Saya berharap kejohanan ini akan menjadi asas kepada matlamat kementerian dan MYA untuk kita memenangi pingat emas pertama, Insya-Allah di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo (Jepun)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah yakin skuad negara yang dibarisi 14 pelayar kali ini mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas, sekali gus mengatasi pencapaian satu perak menerusi gandingan Mohammad Faizal Norizan/Ahmad Syukri Abdul Aziz dalam kategori 420 lelaki di Tavira, Portugal pada tahun lepas.

Beliau berkata, persatuan itu mensasarkan prospek pingat kepada beberapa pelayar muda berpotensi negara seperti Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin dalam kelas 420 Lelaki serta pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, Nur Shazrin Mohamad Latif dalam acara Laser Radial wanita.

"Kita turut mengetengahkan beberapa pelayar baharu pada kejohanan kali ini seperti Abdul Latif Mansor dan beberapa pelayar lain sebagai pendedahan awal untuk mereka menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang," kata Mohd Afendy.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X