Isnin, 26 Oktober 2015 | 4:01pm
SEORANG ahli perniagaan wanita di sini mendakwa ditipu sindiket 'Love Scam' yang didalangi rakyat asing menyebabkan dia kerugian RM126,000. - Foto hiasan

Ahli perniagaan wanita dakwa rugi RM126,000 ditipu sindiket Love Scam

GEORGETOWN: Seorang ahli perniagaan wanita di sini mendakwa ditipu sindiket 'Love Scam' yang didalangi rakyat asing menyebabkan dia kerugian RM126,000.

Wanita berusia 32 tahun yang telah berkahwin itu mendakwa berkenalan dengan seorang 'lelaki kacak' menerusi laman sosial Facebook yang mengarahkan dia untuk memasukkan wang ke dalam dua akaun bank tempatan untuk membolehkan dia menuntut hadiah pemberian lelaki terbabit.

Pemangku Ketua Wanita Gerakan Pulau Pinang, Hartini Tan Abdullah, berkata wanita berkenaan mengenali lelaki terbabit Julai lepas dan mula memasukkan wang selepas mendapat panggilan daripada anggota sindiket berkenaan bagi mendapatkan hadiah yang dihantar kepadanya.

"Seseorang yang mendakwa dari sebuah jabatan kerajaan memberitahu mangsa yang dia perlu membayar sejumlah wang jika hendak mendapatkan bungkusan hadiah mengandungi wang tunai, emas dan minyak wangi itu.

"Mangsa yang mahukan hadiah itu kemudiannya memasukkan RM126,000 menerusi 19 transaksi ke dalam dua akuan milik orang tempatan sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 5 Oktober lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hartini berkata, wanita itu membuat aduan kepada Gerakan pada 14 Oktober lepas selepas kecewa kerana mendakwa tiada perkembangan daripada pihak polis berhubung kes itu dan telah beberapa kali menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan kes itu secepat mungkin kerana ia membabitkan jumlah kerugian yang besar.

"Gerakan juga bercadang mengadakan kempen dan dialog kepada golongan wanita bagi memberi kesedaran berhubung sindiket Love Scam ini kerana semakin banyak kes seumpama itu dilaporkan sekarang ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, ketika dihubungi, berkata polis memulakan siasatan kes itu sebaik menerima laporan.

Beliau berkata, polis telah memperoleh maklumat mengenai pemilik akaun berkenaan dan usaha mengesan mereka yang dipercayai orang tempatan dan anggota sindiket itu giat dijalankan.

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita agar tidak terpedaya dengan sindiket Love Scam itu," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X