Isnin, 26 Oktober 2015 | 6:19pm

21 PATI ditahan cuba keluar dari negara secara haram

KOTA TINGGI: Sebanyak 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan ketika cuba keluar dari negara ini secara haram berdekatan kawasan hutan Pantai Tanjung Gemuk, Jalan Sedili Kecil, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata kesemua PATI itu ditahan dalam serbuan pada 3.15 pagi, ketika dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.

"Hasil pemeriksaan mendapati 14 lelaki dewasa dan tujuh perempuan warga Indonesia mengakui sedang menunggu bot pancung. Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mereka yang berumur antara 21 hingga 53 tahun itu, kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Sedili dan ditahan reman dua minggu untuk siasatan lanjut, katanya.

Kes disiasat mengikut Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

- BERNAMA

Berita Harian X