Isnin, 26 Oktober 2015 | 6:58pm

Ancaman IS antara fokus ADMM-Plus - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Yazit Razali
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan ancaman militan Negara Islam (IS) akan menjadi antara fokus semasa mesyuarat menteri-menteri pertahanan 10 negara anggota ASEAN dengan lapan rakan dialog pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus di sini pada 2 hingga 5 November.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Dr Ash Carter dan Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan antara yang hadir dari rakan dialog ASEAN yang sudah mengesahkan kehadiran pada mesyuarat itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ancaman militan IS adalah benar dan jika tidak dikendalikan dengan baik akan menyebabkan rantau ini menjadi malapetaka terbesar di dunia.

"ADMM-Plus tahun ini adalah mesyuarat pertama yang dihoskan Malaysia membincangkan dengan rakan dialog mengenai cara mengukuhkan kerjasama keselamatan dan pertahanan untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selaku pengerusi ADMM untuk tahun ini, Hishammuddin berkata kedudukan Malaysia amat penting dalam peranannya memastikan rantau ini terus stabil.

ADMM adalah perundingan dan kerjasama pertahanan tertinggi di ASEAN berkaitan dengan pertahanan.

Ia bertujuan menjalinkan kesefahaman dan keyakinan melalui persefahaman pertahanan dan keselamatan serta meluaskan ketelusan dan keterbukaan.

Kumpulan 10 anggota ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, sementara lapan negara rakan dialog ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan AS.

Hishammuddin berkata, tema bagi mesyuarat ADMM-Plus ialah "ASEAN-Maintaining Regional Security and Stability For And By The People."

Mesyuarat pertama ADMM-Plus pertama diadakan di Hanoi, Vietnam pada 12 Okt 2010 dengan para menteri pertahanan mencapai persetujuan dalam lima perkara iaitu kerjasama latihan di bawah mekanisme baharu, keselamatan maritim, perang menentang keganasan, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana, operasi keamanan dan perubatan tentera.

Lima kumpulan kerja pakar (EWGs) telah dibentuk bagi memudah cara lima bidang kerjasama berkenaan.

Mesyuarat ADMM-Plus kedua pula diadakan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 29 Ogos 2013.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X