Selasa, 27 Oktober 2015 | 3:45pm

Pelancongan perubatan Malaysia mampu raih RM1b setahun - TPM

[email protected]

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin (kiri) bertukar dokumen bersama Pengarah Urusan AJ Pharma Holdings, Dr Tabassum Khan selepas majlis perasmian Inisiatif dalam Industri Penjagaan Kesihatan Halal di Hotel Grand Hyatt. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan dunia dengan menjana perolehan RM1 bilion setahun bersandarkan ekosistem industri farmasutikal halal yang mapan di negara ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat Ogos lalu, terdapat 110 syarikat pembuatan farmaseutikal di Malaysia yang mendapat persijilan halal termasuk 24 syarikat yang mengeksport produk berasaskan industri berkenaan.

"Malaysia juga antara negara di rantau ini yang menerima skim kerjasama pemeriksaan farmaseutikal dan membolehkan pemain industri tempatan mengeluarkan produk mengikut standard pembuatan berkualiti tinggi.

"Perkara ini juga membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mengeksport produk mereka ke pasaran asing yang mempunyai skim berkenaan antaranya Eropah, Australia dan Kanada," katanya berucap merasmikan insentif industri penjagaan kesihatan halal di sini, hari ini.

Selepas merasmikan majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama antara Halal Industry Development Corporation (HDC) dan AJ Pharma Holdings untuk membangunkan platform pembangunan penyelidikan (R&D) dalam vaksin halal.

Berita Harian X