Selasa, 27 Oktober 2015 | 5:55pm

Firma Saudi labur RM500j keluarkan produk farmaseutikal halal

KUALA LUMPUR: Al Jomaih Group, syarikat pelaburan berpangkalan di Arab Saudi merancang melabur hingga RM500 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi membangunkan kemudahan dan mengeluarkan produk farmaseutikal halal di Malaysia. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Al Jomaih akan melabur dalam dua projek di Enstek Halal Park di Negeri Sembilan iaitu menerusi AJ Biologics Sdn Bhd berjumlah RM160 juta dan AJ Research and Pharma Sdn Bhd bernilai RM126 juta. 

Beliau berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan untuk AJ Biologics ini membabitkan aktiviti pengeluaran produk farmaseutikal dan nutrasiutikal menerusi kemudahan formulasi termaju seumpamanya untuk menghasilkan vaksin. 

AJ Research and Pharma pula akan melaksanakan projek penyelidikan bagi menghasilkan produk kesihatan pengguna farmaseutikal berkualiti tinggi. 

"Hasil pelaburan ini juga menyaksikan Al Jomaih membangunkan Halal Healthcare Complex yang turut merangkumi kemudahan farmaseutikal dan nutrasiutikal halal bersepadu yang membolehkan syarikat ini menghasilkan produk perubatan dan farmaseutikal inovatif," katanya berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Halal Dalam Industri Penjagaan Kesihatan di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri MITI II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Pengerusi Halal Industri Development Corporation (HDC), Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin. 

Sementara itu, Pengarah Urusan AJ Pharma Holdings Sdn Bhd, Dr Tabassum Khan, berkata baki daripada keseluruhan pelaburan berkenaan akan disalurkan kepada projek berkaitan dengan aktiviti huluan untuk menghasilkan vaksin. 

Katanya, aktiviti huluan turut merangkumi penghasilan bahan mentah tempatan untuk vaksin halal pertama seumpamanya sekali gus meningkatkan daya saing pasaran tempatan di peringkat global. 

Syarikat akan membangunkan bahan mentah domestik untuk hasilkan vaksin buatan Malaysia menjelang 2017 sekali gus akan memperkukuhkan lagi ekosistem halal di negara ini yang mana turut menjadi faktor utama kepada Al Jomaih memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Berita Harian X