Selasa, 27 Oktober 2015 | 6:05pm

Agong mahu UPNM jalin kolaborasi dengan industri terkemuka

TUNKU Panglima Besar Kedah, Brig Jen Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyerahkan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Leftenan Muda Chin Soon Phin, 23 sempena Istiadat Konvokesyen Ke-6 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Universiti Pertahanan Nasional Pertahanan Malaysia (UPNM), Sungai Besi. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu terus menggiatkan pencarian peluang dalam usaha menjalin kolaborasi bersama industri terkemuka dunia terutama dalam kerjasama akademik dan penyelidikan berfokus.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah kolaborasi berkenaan penting bagi menghasilkan kepakaran anak tempatan dalam bidang-bidang baharu berkaitan teknologi.

"Dengan adanya akademia tempatan yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang tersebut, UPNM dapat menyumbang kepada pelan modenisasi untuk menentukan kesiapsiagaan serta keupayaan sistem pertahanan negara.

"Beta menyeru agar UPNM terus berusaha meningkatkan pembinaan kapasiti penyelidikan dan pembangunan kepakaran khususnya dalam cabang baharu ilmu keselamatan dan pertahanan," titah baginda pada perasmian Istiadat Konvokesyen ke-6 UPNM di sini, hari ini.

Teks titah ucapan Tuanku Abdul Halim dibacakan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, yang juga Pro Canselor UPNM.

Seri Paduka bertitah usaha yang dilakukan termasuk meneroka dengan lebih mendalam dalam bidang keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pertahanan, perubatan pertahanan dan strategi pertahanan.

"Beta merasa bangga apabila dimaklumkan UPNM telah berjaya memperoleh geran penyelidikan yang keseluruhannya berjumlah lebih daripada RM23juta," titah baginda.

Baginda turut melahirkan rasa bangga terhadap pelbagai produk daripada penyelidik UPNM yang telah memenangi banyak anugerah berprestij di pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada majlis itu, universiti berkenaan turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan) kepada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohamed Seth dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mekanikal) kepada Ahli Lembaga Pengarah UPNM, Brigedier Jen (Kehormat) Tan Sri Datuk Mohd Kamil Jamil.

Sementara itu, penerima pingat emas Canselor kerana pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, Pegawai Kadet Nurbaiti Izyani Ali menyifatkan anugerah itu terlalu istimewa dan sebagai hadiah kepada ibu bapa serta tenaga pengajarnya.

Anak kelahiran Johor berusia 22 tahun itu berkata beliau akan menyambung kerjaya bersama Tentera Darat untuk menyumbang kepakaran beliau dalam bidang pengajian strategi di Rejimen 501 Askar Wataniah.

- BERNAMA

Berita Harian X