Rabu, 28 Oktober 2015 | 12:01am

Ayam antibiotik: Pantau lebih ketat ladang ternakan ayam



FOMCA mahu pemantauan lebih ketat ke atas ladang ternakan ayam bagi mengekang penggunaan antibiotik secara tidak terkawal.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tinjauan beliau di beberapa ladang ternakan, termasuk yang berskala besar dan membekalkan ayam ke seluruh negara, mendapati pengawasan terhadap kaedah penternakan ayam sangat longgar.

Malah, katanya, ada ladang ternakan ayam di Johor hanya dikendalikan pekerja asing tanpa kehadiran pegawai veterinar untuk memantau proses pemberian makanan.

Bahan mencurigakan

"Saya sendiri masuk dan lihat sekitarnya, dalam stor makanan dan baja haiwan, ada banyak bahan yang mencurigakan.

"Ada ladang ternakan yang teliti dalam hal keselamatan veterinar dengan menempatkan pakar dalam bidang ini dan ada bilik khas tetapi ada banyak (pengurusan) ladang ternakan besar yang sambil lewa.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman.

"Ini yang kita khuatir ada ladang ternakan yang memasukkan bahan tidak sepatutnya, terutama antibiotik untuk menjadikan ayam lebih besar. Situasi ini perlu dikekang secara serius untuk jaga kepentingan pengguna," katanya kepada BH.

Beliau mengulas pembongkaran akhbar ini mengenai bahaya akibat bakteria yang kebal dalam tubuh ayam dan babi apabila berpindah ke tubuh manusia selepas diberi antibiotik tidak sepatutnya.

Mohd Yusof berkata, FOMCA menerima maklumat mengenai penggunaan antibiotik terhadap ayam untuk tujuan mengaut keuntungan dan isu itu sudah lama dibangkitkan.

Namun, katanya, sehingga hari ini isu berkenaan tidak ditangani secara serius sehingga boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada pengguna.

Ambil sampel ayam

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menyarankan supaya sampel dari ayam diambil dan dianalisis sama ada bakteria yang kebal dari haiwan itu boleh memberi masalah kepada manusia.

"Bukan sahaja antibiotik, mungkin ada bahan lain yang kita tidak tahu diberikan kepada ayam.

"Ada juga kes pengusaha mencampurkan pasir dalam makanan kerana mengutamakan berat ayam supaya cepat dijual.

"Sampel ayam yang diimport juga perlu dianalisis kerana ia lebih membimbangkan kerana sumber makanan ayam itu juga tidak diketahui," katanya.

Nadzim berkata, kerajaan boleh mengharamkan penggunaan antibiotik dalam proses penternakan ayam.

"Tiada keperluan pun (penggunaan antibiotik) walaupun alasan yang diberikan untuk mempercepatkan proses pembesaran ayam... nak bagi sedap, nak ayam sihat," katanya.

Sehubungan itu, bakteria 'kebal' antibiotik boleh menjangkiti manusia menerusi najis haiwan ternakan dan air liur, selain menggandakan risiko kematian.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat menerusi laporan mengenai tindakan penternak memberi antibiotik kepada haiwan ternakan, menjelaskan 'jalan singkat' itu untuk menggemukkan ayam dan lembu dipraktikkan sejak 50 tahun lalu.

PUSAT Kawalan Penyakit (CDC) berpangkalan di Amerika Syarikat.

Malah, larangan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat terhadap penggunaan antibiotik dalam kalangan penternak tidak dihiraukan, sebaliknya semakin meruncing apabila pelbagai jenis bakteria mempunyai rintangan lebih tinggi terhadap ubat-ubatan.

"Walaupun manusia tidak memakan haiwan ternakan seperti ayam dan lembu, jangkitan bakteria yang mempunyai rintangan terhadap rawatan antibiotik boleh berlaku menerusi najis.

"Lazimnya, paling mudah terdedah kepada risiko jangkitan adalah pekerja di rumah sembelihan dan penternak di ladang.

"Penternak atau pekerja rumah sembelihan yang sudah dijangkiti kemudian akan menyebarkan bakteria 'kebal' kepada ahli keluarga dan pesakit lain jika dimasukkan ke hospital," kata FDA dalam laporan khas yang dipaparkan di laman web agensi itu.

Kelmarin, BH melaporkan pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bahawa pihak berkuasa Singapura mengenal pasti ada ayam yang diternak di Malaysia dan dieksport ke republik itu mengandungi antibiotik.

Susulan itu, JPV mengeluarkan arahan untuk menggantung lesen penternakan syarikat pengusaha terbabit sehingga badan pemantau Singapura berpuas hati dengan kaedah operasi mereka.

Penelitian lanjut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) berpangkalan di Amerika Syarikat, mendapati jangkitan bakteria kebal antibiotik mempunyai kesan lebih 50 peratus berbanding biasa, malah mempengaruhi tempoh pengesanan tanda awal penyakit.

Kajian CDC pada tahun 2013 menjelaskan, bakteria seperti Salmonella dan Campylobacter dalam ayam yang diberi antibiotik untuk mempercepatkan tumbesarannya mempunyai rintangan paling tinggi.

"Kedua-dua bakteria ini tidak boleh lagi dirawat menggunakan antibiotik biasa kerana ia sudah mengenali ubat berkenaan (kebal), sebaliknya pakar farmasi perlu menghasilkan ramuan baharu dan lebih kuat.

"Kitaran ini tidak akan berakhir kerana penternak akan terus menggunakan antibiotik yang baharu dihasilkan sebagai 'ejen' mempercepatkan tumbesaran, sekali gus menjana keuntungan lebih cepat," katanya.

Sementara itu, orang ramai mahu pihak berkuasa tegas dalam menangani isu penternak mencampurkan antibiotik dalam makanan haiwan ternakan.

Mereka berpandangan, penternak tidak sewajarnya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kesannya kepada kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pelajar, Syed Husainie Faruzi Syed Afandi, 23, berkata jabatan yang berkaitan perlu memainkan peranan penting dengan melakukan lebih banyak pemantauan ke atas penternak.

"Tindakan tegas perlu diambil ke atas penternak yang melanggar undang-undang seperti mengenakan denda.

"Penternak pula tidak seharusnya memikir keuntungan semata-mata kerana ia membabitkan kesihatan orang ramai," katanya.

Penolong Jurutera, Hamdan Mohamad

Penolong Jurutera, Hamdan Mohamad, 47, berkata penggunaan antibiotik perlu dikawal ketat Kementerian Kesihatan bagi mengelak disalahgunakan.

"Ada penternak mencampurkan antibiotik secara berlebihan dan ia sangat bahaya kerana membabitkan bahan kimia yang kuat," katanya.

Jurutera, Muhammad Fahmi Ghazali, 34, berkata Kementerian Kesihatan boleh mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya mereka mendapat maklumat mengenai perkara itu.

"Ini dapat memberi pemahaman kepada masyarakat dan juga penternak supaya mereka memandang serius perbuatan itu," katanya.

Berita Harian X