Rabu, 28 Oktober 2015 | 2:46pm

Elak cetus konflik di Laut China Selatan - Hishammuddin

HISHAMMUDDIN pada sidang media pada Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa Wira-Wira Pertempuran Pasar Bakara, Somalia di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani. - Foto NSTP
HISHAMMUDDIN pada sidang media pada Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa Wira-Wira Pertempuran Pasar Bakara, Somalia di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani. - Foto NSTP

SUNGAI PETANI: Malaysia minta pihak yang terbabit dalam isu di Laut China Selatan untuk menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini di zon konlik itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membuat gesaan itu menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2 hingga 5 November ini.

"Isu ini kompleks dan sensitif. Kita tak mahu insiden tidak diingini berlaku," katanya pada Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa Wira-Wira Pertempuran Pasar Bakara, Somalia di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.

Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Hishammuddin yang juga Pengerusi ADMM diminta mengulas situasi terkini di zon konflik Laut China Selatan membabitkan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.

AS semalam menghantar kapal perangnya menghampiri had zon wilayah 12 batu nautika dari pulau buatan China di Laut China Selatan.

ADMM adalah perundingan dan kerjasama pertahanan tertinggi antara negara anggota ASEAN berkaitan dengan pertahanan.

Ia bertujuan menjalin kesefahaman dan keyakinan melalui persefahaman pertahanan dan keselamatan selain meluaskan ketelusan dan keterbukaan.

Anggota ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, sementara lapan negara rakan dialog ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan AS.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X