Rabu, 28 Oktober 2015 | 8:23pm

Farrah Ann perlu lepasi Ujian Pra-Olimpik

KUALA LUMPUR: Peluang atlet gimnastik wanita kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi untuk menyertai Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil dari 5-21 Ogos masih terbuka iaitu melalui Acara Ujian Pra-Olimpik.

Bagaimanapun, atlet berusia 21 tahun kelahiran Selangor itu perlu menduduki satu daripada 24 tempat teratas pada ujian akhir kelayakan yang dijadual berlangsung di Brazil dari 16 hingga 24 April 2016.

Farah Ann gagal melayakkan diri secara automatik ke sukan musim panas terbesar dunia itu apabila hanya menduduki tempat ke-69 daripada 191 atlet gimnastik yang bersaing pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia ke-46 di SSE Hydro Arena di Glasgow, Scotland, semalam.

Menurut laman web Persekutuan Gimnastik Antarabangsa www.fig-gymnastics.com, Farah Ann mengumpul 51.965 mata dalam Pusingan Keseluruhan Individu bagi empat acara iaitu lombol, palang bertingkat, batang titian dan senam lantai, manakala dua atlet Malaysia lain iaitu Tracia Ng dan Tan Ing Yueh masing-masing menduduki tempat ke-82 dan ke-140 dengan mengumpul 51.131 dan 47.599 mata.

Mengikut peraturan FIG, lapan atlet gimnastik teratas dan lapan pasukan terbaik daripada Kejohanan Dunia secara automatik mendapat tempat untuk bertanding di Rio, manakala atlet lain perlu bersaing dalam Acara Ujian Pra-Olimpik untuk mendapatkan tempat ke sukan yang diadakan empat tahun sekali itu.

- BERNAMA

Berita Harian X