Khamis, 29 Oktober 2015 | 12:07am
PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohamad Riduwan Md Nawawi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Johar Akbar Mohamat Gani. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
INOVASI sejadah pintar atau nama komersial 'UTeM i-Sajadah' yang dibangunkan sekumpulan penyelidik dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mampu mengukur jumlah rakaat dalam ibadat solat. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
INOVASI sejadah pintar atau nama komersial 'UTeM i-Sajadah' mempunyai tiga zon pengimbas di bahagian pelapik sejadah di bahagian kepala, lutut dan tapak kaki begitu sensitif memberi angka jumlah rakaat yang tertera di bahagian atas sejadah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENGGUNA mampu menyemak bilangan rakaat solat pada zon pengimbas di bahagian tapak kaki yang sensitif dengan cara mengangkat sedikit sekali gus memberi angka jumlah rakaat yang tertera di bahagian atas sejadah pintar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohamad Riduwan Md Nawawi (kiri) menunjukkan cara pemakaian alat sensor pada pergelangan tangan untuk golongan orang buta. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SET sejadah pintar atau nama komersial 'UTeM i-Sajadah' yang mampu mengukur jumlah rakaat dalam ibadat solat. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Johar Akbar Mohamat Gani (kiri) bersama kumpulan penyelidiknya menunjukkan inovasi sejadah pintar atau nama komersial 'UTeM i-Sajadah'. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Sejadah pintar ukur jumlah rakaat solat


IDEA spontan seorang pensyarah wanita yang terlupa jumlah rakaat ketika bersolat membuka jalan kepada Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini, mencipta sejadah pintar yang mampu mengukur jumlah rakaat dalam ibadat solat.

   Menyahut cabaran itu, sekumpulan penyelidik dan pelajar diketuai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTeM, Johar Akbar Mohamat Gani mencipta 'UTeM i-Sajadah' yang mula dibangunkan di universiti itu, sejak tahun lalu.

   Inovasi sejadah pintar itu terserlah apabila ia sarat dengan teknologi digital, selain tiga zon pengimbas di pelapik sejadah di bahagian kepala, lutut dan tapak kaki yang sensitif memberi angka jumlah rakaat yang tertera di bahagian atas sejadah.

   Johar Akbar berkata, selain memperkasakan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pasukannya turut menaik taraf kit digital yang boleh ditanggalkan, selain memilih material kain kanvas sebagai bahan pelapik yang boleh dialaskan dengan sejadah biasa.

PENGGUNA mampu menyemak bilangan rakaat solat tiga zon pengimbas di bahagian pelapik sejadah di bahagian kepala, lutut dan tapak kaki. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

   "Bagi mendapatkan maklum balas umum, pasukan penyelidik turut mendapat kerjasama daripada Mufti Melaka, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin.

   "Malah, beliau turut memberikan idea supaya angka digital yang tertera di bahagian atas UTeM i-Sajadah tidak berterusan menyala yang dikhuatiri boleh mengganggu kekusyukan dalam bersolat," katanya ketika ditemui BHPlus di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTeM, Melaka, baru-baru ini.

   Mengambil serius pandangan bernas itu, pasukan penyelidik bertungkus lumus menambah baik inovasi dan berjaya mencipta teknologi yang hanya menyala selama lima saat sebaik zon sensitif pada kaki, lutut dan kepala di angkat sedikit.

   "Pertama kali UTeM i-Sajadah dipertandingkan pada Pertandingan Mini UTeMEX 2014, pasukan kami mendapat Sijil Anugerah Emas pada akhir tahun lalu dan produk ini sekali lagi mendapat Anugerah Emas di EXPO Teknologi Malaysia 2015 oleh Persatuan Penyelidikan Saintis Malaysia (MARS) pada Februari lalu.

   "Prototaip UTeM i-Sajadah sekali lagi mengharumkan nama negara apabila terpilih mendapat Anugerah Khas Juri oleh Persatuan Promosi Inovasi dan Ciptaan Indonesia (INNOPA) juga pada Februari lalu," katanya yang merancang untuk menghantar hasil rekaan itu pada pertandingan inovasi di London, bulan depan.

KEUNIKAN sejadah pintar atau nama komersial 'UTeM i-Sajadah' yang dibangunkan sekumpulan penyelidik dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

   Ditanya antara cabaran yang dilalui sepanjang menghasilkan sejadah pintar itu, Johar Akbar berkata, pasukannya berdepan cabaran untuk merealisasikan UTeM i-Sajadah yang mesra semua peringkat usia. Ia termasuk memperluas zon pengimbas di bahagian kepala, lutut dan tapak kaki.

   Bercerita lanjut mengenai inovasi pada sejadah pintar itu, beliau turut menunjukkan gelang pintar yang direka khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan dengan berfungsi memberi isyarat getaran mewakili setiap jumlah rakaat dalam bersolat.

   "Inovasi ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Negeri Melaka yang menyumbang kepada kejayaan rekaan gelang pintar UTeM i-Sajadah," katanya.

   Sementara itu, seorang lagi penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTeM, Mohamad Riduwan Md Nawawi, berkata pihak universiti sedang mendapatkan paten dan hak cipta bagi produk itu, sebelum membuka kerjasama dengan rakan industri untuk mengkomersialkan sejadah pintar berkenaan.

   "Kita mengalu-alukan pembabitan rakan industri untuk merealisasikan produk ini terus kepada pengguna.

   "Malah, kita turut mengucapkan terima kasih kepada BH kerana menghebahkan teknologi dihasilkan UTeM ini. Andai produk ini berjaya menembusi pasaran, saya berharap setiap satu UTeM i-Sajadah dapat diletakkan di setiap masjid di seluruh negara, selain digunakan keluarga yang berminat," katanya.

 

Berita Harian X