Jumaat, 30 Oktober 2015 | 12:06am
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT).
PAPAN tanda projek mencegah hakisan di Pantai Tok Jembal. - Foto Syahirah Abdullah
LANGKAH mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat dilaksanakan. - Foto Syahirah Abdullah
PROJEK mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sedang giat dijalankan. - Foto Syahirah Abdullah
KEADAAN Pantai Tok Jembal berdekatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sedang ditambun bagi menghalang hakisan. - Foto Syahirah Abdullah
KEADAAN salah satu struktur bangunan yang terhakis di tepi pantai Tok Jembal. - Foto Syahirah Abdullah
SEBAHAGIAN pagar konkrit bangunan milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh akibat hakisan di Pantai Tok Jembal. - Foto Syahirah Abdullah

Kampung Tok Jembal bakal ditelan laut?


KAMPUNG Tok Jembal, yang terletak di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan kawasan sekitar yang dihuni ratusan keluarga bakal lenyap ditelan laut dalam tempoh 15 tahun, jika hakisan di kawasan pantai itu tidak diberi perhatian serius.

Ini terbukti dengan masalah hakisan di Pantai Tok Jembal, di sini, yang dilihat semakin kritikal sejak kebelakangan ini apabila semakin banyak harta benda musnah ditelan ombak setiap kali berlaku ombak besar.

Hakisan lebih teruk berlaku terutama pada musim tengkujuh setiap tahun dan pantai itu terhakis beberapa meter ke daratan menyebabkan pelbagai kemudahan, termasuk jalan raya dan pondok rehat, malah pokok musnah ditenggelami air laut.

Satu kajian simulasi kelautan dilakukan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati Kampung Tok Jembal dan kawasan di sekitarnya berhadapan ancaman hilang ditelan laut dalam tempoh 15 tahun jika masalah hakisan pantai tidak diberi perhatian. 

Kawasan yang teruk terjejas adalah sepanjang 3.4 kilometer yang bermula dari utara Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTASM) sehingga ke UMT dan turut membabitkan Kampung Tok Jembal.

BONGKAH batu besar digunakan untuk mencegah hakisan di Pantai Tok Jembal. - Foto Syahirah Abdullah

Berdasarkan kajian itu, tidak mustahil Kampung Tok Jembal akan hilang dari peta negeri Terengganu dalam tempoh itu jika tiada sebarang langkah menangani masalah hakisan dilakukan.

Difahamkan, hakisan di situ berlaku disebabkan perubahan struktur bumi berikutan pembesaran landasan LTASM pada tahun 2009, yang mengakibatkan perubahan garisan pantai ke tengah laut.

Tinjauan BH mendapati hakisan itu menyebabkan kerosakan pada harta benda Universiti Malaysia Terengganu (UMT), termasuk bangunan dan peralatan penyelidikan serta aset lain yang berdekatan dengan pantai.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata UMT adalah sebuah universiti yang unik kerana kedudukannya yang terletak di pesisiran Pantai Tok Jembal.

Katanya, pada musim tengkujuh, pantai UMT dan sekitarnya mengalami hujan lebat antara 500 milimeter (mm) hingga 800 mm sehari, angin kencang dengan kelajuan antara enam ke 10 meter per saat (m/s), ombak tinggi antara tiga meter hingga lima meter dan air pasang sehingga 1.8 meter ke 2.5 meter.

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

"Pada masa ini, hakisan pantai UMT semakin teruk berlaku menyebabkan semua bangunan serta harta-benda UMT yang berada berhampiran pantai musnah dibadai ombak kuat.

"Kerugian melebihi RM5 juta, membabitkan Stesen Penyelidikan Tenaga Keterbaharuan (bangunan makmal, kincir angin dan pagar kawasan), Sistem pengambilan air masin (paip sedutan, rumah pam, tangki enapan dan sedutan) serta tandas awam, longkang monsun dan jambatan juga musnah," katanya.

Prof Nor Aieni berkata, hakisan itu juga menyebabkan kerosakan teruk pada jambatan yang menghubungkan pantai dengan daratan. Lebih membimbangkan, ia menyebabkan pantai sepanjang 100 meter terhakis ke laut.

Beliau bimbang jika masalah itu berterusan dan tiada tindakan segera diambil menanganinya, ia akan menyebabkan ancaman yang lebih besar, termasuk pada bangunan dan aset UMT.

Ia membabitkan Bangunan Pusat Penyelidikan INOS dan Kompleks Hatcheri Air Masin Akuatrop serta kemudahan lain yang baru siap dibina bernilai melebihi RM65 juta, termasuk RM15 juta kelengkapan makmal di dalamnya.

Beliau berkata, UMT menganggarkan kos awal sebanyak RM110 juta diperlukan untuk projek pembinaan tebatan banjir dan kawalan hakisan di kawasan berkenaan.

PEMANDANGAN di Pantai Tok Jembal. - Foto Syahirah Abdullah

Selain itu, katanya, pihak berwajib juga perlu melaksanakan beberapa projek berkaitan sebagai langkah awal menghadapi musim tengkujuh.

"Kita juga berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menyegerakan projek pembinaan longkang utama yang melalui kawasan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula sedang merancang melaksanakan pembesaran 'box culvert' sedia ada di jalan utama bagi mengatasi isu banjir di kawasan UniSZA dan kawasan perumahan di sekitarnya," katanya.

Pada masa yang sama,  Prof Nor Aieni berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian dan perancangan bagi mencari kaedah penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah hakisan pantai dan banjir.

Jelasnya, dengan gabungan kepakaran ahli akademik dan pegawai teknikal UMT, mereka berjaya menghasilkan Sistem Pencegahan Hakisan Pantai dan Sistem Tebatan Banjir yang komprehensif.

Berita Harian X