Jumaat, 30 Oktober 2015 | 6:33pm

Malaysia-Singapura pentingkan kerjasama perangi jenayah rentas sempadan

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan semasa kunjungan hormat di Kementerian Dalam Negeri, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura amat mementingkan kerjasama dalam bidang keselamatan khususnya bagi memerangi ancaman jenayah rentas sempadan di rantau ini.

Komitmen itu dinyatakan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ini adalah kunjungan hormat pengenalan Balakrishnan ke atas Ahmad Zahid bersempena lawatan kerja yang pertama beliau ke Malaysia mulai semalam selepas memegang jawatan Menteri Luar Singapura pada 1 Oktober lalu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Balakrishnan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Vanu Gopala Menon. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bersempena lawatan itu, sebagai negara anggota ASEAN dan Pertubuhan Bangsa Bersatu, Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan komitmen di peringkat serantau dilaksanakan berdasarkan beberapa platform.

Antara platform itu ialah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Dadah, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Dadah.

Menurut kenyataan itu, dalam aspek hubungan dua hala, Malaysia dan Singapura sudah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Mengenai Dadah dalam bidang keselamatan pada tahun 2012.

"Di bawah MoU itu, satu Jawatankuasa Kerja sudah ditubuhkan membabitkan pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara untuk membincangkan mengenai kerjasama menangani masalah penyalahgunaan dadah".

Di samping itu, mesyuarat jawatankuasa kerja itu juga adalah platform terbaik bagi kedua-dua negara membincangkan mengenai cabaran serta bentuk ancaman baharu di negara masing-masing, termasuk aspek pemulihan penagih dadah.

Semalam Balakrishnan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Datuk Seri Anifah Aman.

Balakrishnan, bekas Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, dilantik sebagai Menteri Luar dalam barisan baharu Kabinet Singapura yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada bulan lalu.

-- BERNAMA

Berita Harian X