Sabtu, 31 Oktober 2015 | 12:02am
PEKERJA menyiapkan kek di Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PEKERJA membakar kek di Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Kek Handsome Boyfriend di kafe Cake Jalan Tiung


PELANGGAN memilih pelbagai jenis kek yang dijual di Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

BUKANLAH dinamakan kek yang sempurna jika tidak berasa manis dihiasi krim yang mencantikkan lagi rupa dan selera.

Makanan bergula dikatakan mampu merangsang endorfin dan kesannya, individu menjadi lebih ceria dan bersemangat.

Namun, yang manis berlebihan juga tidak elok untuk kesihatan dan menyedari itu, Cake Jalan Tiung (CJT) cuba menawarkan aneka pilihan kek yang tidak keterlaluan manis.

Pemilik kafe terletak di Seksyen 9, Shah Alam itu, Nurul Shafinaz Abdul Rahman berkata, kek ditawarkannya menampilkan resipi ekslusif seperti dihasilkan dari rumah.

"Ia memberikan nostalgia air tangan ibu. Pelanggan yang menjamah kek di sini tidak dapat mengelak dari mengaitkannya dengan resipi turun temurun, dari ibu apatah lagi selepas menghirup keharuman aroma yang memikat selera," katanya yang berminat dengan dunia kek dan pastri sejak bergelar pelajar sekolah rendah.

Lebih setahun terbabit secara separuh masa menghasilkan kek untuk perniagaan atas talian, April lalu, Shafinaz dan suami, Hidzad Lahurie memberanikan diri membuka kafe.

"Kami bertuah kerana sedia mempunyai pengikut dan penggemar kek sewaktu berniaga secara atas talian dulu. Mereka juga memberikan motivasi untuk kami berkongsi keenakan kek buatan sendiri kepada orang ramai pula," katanya yang kini mempunyai lima pembuat kek termasuk seorang separuh masa.


PEMILIK Cake Jalan Tiung, Nur Shafinaz Abdul Rahman. - Foto Faiz Anuar

PEMILIK Cake Jalan Tiung, Nur Shafinaz Abdul Rahman (kiri), membantu pekerjanya menyiapkan kek di Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam.- Foto Faiz Anuar

Menawarkan cita rasa kek popular antaranya, vanila, keju, coklat, rasa buah selain pilihan pavlova, pelanggan kafe Cake Jalan Tiung turut menemui kelainan menerusi nama diberikan untuk setiap kek.

Misalnya, Christiung Applegate mewakili kek epal kayu manis dengan krim keju. Begitu juga dengan Samseng Kampung Pandan adalah kek pandan gula melaka bersalut krim mentega, manakala kek mentega Teh Tarik diadun daripada krim putar, teh serta susu sejat.

Jangan terkejut pula dengan nama Pengat Pisang iaitu kek keju dengan ramuan pisang, sagu dan gula melaka, dan Handsome Boyfriend untuk kek coklat menggunakan adunan coklat serta oreo dan banyak lagi.

Menjelaskan keunikan nama diberikan itu, Shafinaz berkata ia sebahagian strategi pemasaran dalam menarik pelanggan untuk mencuba setiap kek ditawarkan.

"Setiap kek mempunyai cerita di sebalik rasa, begitu juga bahan, adunan dan cara penyediaan yang berbeza-beza. Untuk Salted Caramel & Chocolote misalnya, ia menyelitkan rasa masin bagi menyeimbangkan kemanisan karamel, manakala gabungan tiga buah lemon, strawberi dan beri mengungguli rasa Merry Berry Dirah Spade," katanya berkongsi rahsia kelazatan kek dibuatnya itu.

Begitupun, bukan semua kek Shafinaz mudah dihasilkan sebaliknya cabaran datang dalam pelbagai bentuk. Jika bukan pada peringkat adunan dan menentukan ramuan, kek ada ketikanya tidak menjadi sewaktu proses membakar.

"Sukatan tepat mampu menentukan kek sedap dan menepati selera di samping pilihan ramuan dan bahan.

"Meskipun setiap hari membakar kek dan biskut, ada juga harinya pavlova dihasilkan tersasar rasa.

"Walaupun sukatan betul namun kerana suhu ketuhar dan persekitaran 'tidak bersetuju', pavlova enak tidak dapat disediakan," katanya yang menetapkan rutin membakar kek setiap hari. Cara itu dapat menjamin rasa kek yang segar dan lebih enak melainkan kek coklat yang perlu dibakar sehari sebelum dihidangkan.

"Bagi memastikan kek memenuhi rak dan sentiasa ada setiap kali diminta pelanggan, saya perlu membakar enam kek sehari manakala supaya pelanggan tidak jemu, setiap minggu saya harus tampil dengan kek perisa baharu serta pelbagai," kata Shafinaz.


ANTARA kek yang menjadi pilihan pelanggan di Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam.- Foto Faiz Anuar

Jus dan minuman kefir

Sungguhpun baru beberapa bulan membuka kafe, Shafinaz bersama suami berani melakukan pembaharuan dengan memperkenalkan jus buah buatan sendiri dan minuman dengan campuran kefir.

Menurut Shafinaz, minuman kefir berupa susu yang diperam mempunyai khasiat lebih bagus berbanding yogurt dari segi melancarkan penghadaman.

"Ia mengandungi bakteria bagus untuk menjaga kesihatan perut dan bertindak lebih berkesan dari minuman yogurt. Sememangnya hasrat CJL untuk mempromosi menu sihat meskipun membabitkan makanan manis namun sebolehnya pengambilan gula cuba dikurang. Sementara, jus mengandungi fiber tinggi bagus diminum selepas menikmati kek dan biskut," katanya selain turut menawarkan minuman berkafein bagi memberi lebih pilihan buat pelanggannya.

Berita Harian X