Sabtu, 31 Oktober 2015 | 12:08am

Orang muda juga boleh nyanyuk

DEMENSIA atau lebih dikenali sebagai penyakit nyanyuk dalam kalangan masyarakat sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur. Kerap kali kita menyangkakan serangan itu terjadi apabila kita sudah tua.

Hakikatnya, jika kita menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan juga mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, kita juga terdedah kepada risiko serangan.

Pakar Perunding Psikiatri Geriatik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Bharathi Vengadasalam, berkata penyakit Demensia berlaku disebabkan gangguan otak yang menyebabkan penurunan dalam kemampuan kognitif (kemampuan untuk menerima dan memahami maklumat) seseorang.

"Ramai menyangkakan kemampuan kognitif hanya berkaitan dengan memori tetapi sebenarnya membabitkan banyak perkara.

"Ini termasuklah proses mempelajari sesuatu, merancang, menilai, menyusun, menyelesaikan masalah, menghakimi dan melaksanakan aplikasi harian. Demensia juga memberi kesan kepada kognitif, termasuklah aspek perubahan personaliti.

"Secara umumnya, terma Demensia masih diguna pakai cuma dalam beberapa kajian terbaharu, pengkaji menggunakan terma Gangguan Kognitif Major," katanya.


PAKAR Perunding Psikiatri Geriatik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Bharathi Vengadasalam.

Demensia boleh berlaku berikutan faktor berikut iaitu:

  • Demensia disebabkan Alzheimer,

  • Demensia Vaskular, Lewy Body Demensia,

  • Demensia disebabkan penyakit Parkinson

  • Demensia disebabkan trauma di bahagian kepala

  • Demensia disebabkan dadah dan alkohol serta Dimensia Frontotemperal.

    Bagi pesakit Alzheimer, Dr Bharathi berkata, sekitar 60 peratus hingga 70 peratus daripada mereka akan menghidap Demensia apabila umur meningkat.

    Bagi Demensia Vaskular pula, beliau berkata, ia terjadi apabila berlakunya kemalangan pada bahagian kepala dan kecederaan teruk pada otak. Keadaan ini menyebabkan pesakit hilang ingatan secara kekal.

    Kecederaan pada otak menyebabkan salur darah dan pengaliran darah ke otak menjadi tidak sempurna.

    "Atau mungkin juga disebabkan serangan strok kecil yang menyebabkan salur darah mengecil.

    "Serangan strok terjadi apabila seseorang menghidap darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi serta kencing manis. Jadi, kita wajar memeriksa tahap kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Paling penting, amalkan bersenam selama 30 minit sekurang-kurangnya tiga kali seminggu," katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, menjadi kebiasaan apabila seseorang yang sudah berumur kerap kali terlupa mengenai apa yang berlaku di sekelilingnya.

    Katanya, umum menganggap warga emas yang pelupa itu sebagai perkara biasa, namun hakikatnya Demensia adalah sejenis penyakit dan tidak boleh dipandang remeh.

    "Semakin tua seseorang itu, semakin tinggi risiko untuknya menghidap Demensia. Menurut kajian, peratusannya meningkat berdasarkan umur, yang mana lima peratus daripada mereka berusia 65 tahun menghidap Demensia.

    "Dianggarkan 10 peratus pula daripada golongan berusia 70 tahun, 15 peratus daripada golongan umur 80 tahun, 20 peratus golongan berusia 85 tahun dan 30 peratus daripada mereka yang berusia 90 tahun.

    "Pesakit Demensia diklasifikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mereka hilang kemampuan menerima maklumat dengan baik dan memerlukan penjagaan dan pemantauan sepanjang masa," katanya.

    Dr Bharathi turut menjelaskan, beberapa langkah perlu dilakukan sebelum seseorang itu dikenal pasti menghidapi Demensia. Ia membabitkan:

  • Dapatkan maklumat sejarah hidup pesakit

  • Tanya ciri yang pesakit sudah tidak ingat.

  • Kumpul maklumat aktiviti harian (Activity Daily Living) seperti cara mandi, makan dan pakai baju.

  • Kaji aspek instrumental aktiviti harian (Instrumental Activity Daily Living).

    - Membabitkan pergerakan harian

    - Bagaimana pesakit memandu kereta

    - Memegang telefon

    - Cara pergi ke bank

    - Menggunakan kemudahan awam

    - Menggunakan peralatan dalam kehidupan harian


    DEMENSIA atau lebih dikenali sebagai penyakit nyanyuk di kalangan masyarakat sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur.

    Jalani pemeriksaan pakar dengan memantau:

  • Tingkah laku pesakit perbezaan sekarang.

  • Sejarah pesakit akan diambil dari pesakit itu sendiri, keluarga atau orang terdekat dengan mereka.

  • Jalani pemeriksaan 'Mini Mental State Exam' iaitu ujian kognitif yang pesakit perlu ambil.

  • Pesakit jalani penilaian Montreal Cognitive Assesment (MoCA), ujian darah mencari penyebab mungkin mengganggu kognitif mereka.

  • Jalani ujian imbasan MRI atau CT di bahagian otak. Semua prosedur dilakukan dalam beberapa sesi.

    Pesakit perlu mengalami hilang ingatan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pakar boleh mengesahkan seseorang itu menghidap Demensia.

    Untuk kaedah rawatan penyakit Demensia, Dr Bharathi menjelaskan ia berbeza mengikut jenis Demensia yang dihidapi pesakit.

    Katanya, untuk pesakit Demensia disebabkan Alzheimer, rawatan yang diberikan adalah dengan membekalkan ubat Memantine.

    "Ubat berkenaan tidak bertindak sebagai penawar kerana Demensia adalah penyakit yang progresif. Demensia disebabkan Alzheimer berlaku kerana kekurangan bahan kimia dalam otak. Ubat yang diberikan itu hanya akan menghalang enzim yang membunuh bahan kimia itu," jelasnya.

    Bagi Demensia Vaskular pula, beliau berkata, tiada rawatan khas boleh diberikan kerana membabitkan perubahan pada struktur otak.

    Dr Bharathi turut memberi penekanan kepada keperluan memberi sokongan yang kuat kepada keluarga atau penjaga pesakit.

    Penyakit ini, kata beliau, berbeza dengan penyakit lain. Ia memerlukan tumpuan dan penjagaan penuh kerana pesakit sudah tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Mereka juga mungkin perlu berhadapan kerenah pesakit selama berbelas-belas tahun lamanya.

    "Jadi, kita kena beri sokongan kepada penjaga kerana mereka selalu berada dalam keadaan tertekan. Pesakit akan berubah tingkah laku, kadangkala mereka menjadi gelisah, gangguan halusinasi, terlalu aktif, sentiasa hendak keluar rumah, hendak memandu kereta dan tidak mendengar kata penjaga mereka.

    "Justeru, apa yang kita boleh buat adalah menubuhkan kumpulan sokongan kepada penjaga pesakit supaya mereka tahu ada pihak membantu mereka," katanya.

  • Berita Harian X