Sabtu, 31 Oktober 2015 | 5:37pm

DLP, HIP tak bermaksud jatuhkan martabat bahasa Melayu

TIMBALAN Menteri Pendidikan, P Kamalanathan. - Foto Zulaikha Zainuzman

ALOR SETAR: Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP) adalah selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata pelaksanaan kedua-dua program itu tidak akan menjatuhkan martabat bahasa Melayu kerana ia menekankan kepada penguasaan kedua-dua bahasa dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, pelan pembangunan pendidikan menekankan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan tidak bertujuan untuk menjatuhkan martabat Bahasa Melayu sebagaimana didakwa.

"Tidak ada unsur untuk mengaibkan bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan kerana perkara itu sama sekali tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah hari ini.

Kamalanathan berkata demikian selepas menyerahkan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.32 juta kepada 38 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kedah bagi penambahbaikan infrastruktur.

Beliau berkata, sokongan penuh daripada semua pihak diperlukan bagi memastikan program DLP dan HIP dilaksanakan demi kepentingan pelajar.

Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan inisiatif DLP dan HIP yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan peruntukan sebanyak RM38.5 juta.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan berharap masyarakat India merebut pelbagai peluang dan peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2016 untuk membangunkan negara.

Kerajaan, katanya menyediakan banyak peluang dan peruntukan kepada masyarakat India dalam Bajet 2016 dan mereka perlu bertindak bijak untuk merebut peluang-peluang tersedia.

Secara keseluruhannya kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada SJKT seluruh negara dan 10 peratusnya daripada peruntukan itu telah disalurkan kepada sekolah-sekolah di Kedah, katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X