Isnin, 2 November 2015 | 9:34am
SERPIHAN pesawat yang bertebaran. - Foto Reuters

Pesawat Russia berkecai di udara - penyiasat


BANGKAI pesawat A321 yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada Sabtu. - Foto AFP

KAHERAH: Pesawat Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada Sabtu dipercayai berkecai di udara, kata seorang pegawai penyiasat agensi penerbangan Russia selepas melawat kawasan nahas pada Ahad.

Bagaimanapun, pegawai itu menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan konkrit berhubung nahas itu.

Pihak berkuasa Russia setakat ini sudah mengarahkan syarikat penerbangan Kogalymavia, pemilik pesawat Airbus A321 yang terhempas dan mengorbankan semua 224 penumpang dan kru, tidak menggunakan lagi pesawat jenis itu hingga punca nahas dipastikan.

Pesawat berkenaan yang dikendalikan Kogalymavia menggunakan jenama Metrojet berlepas dari kawasan resort di Laut Merah, Sharm el-Sheikh ke St Petersburg apabila terputus hubungan dengan menara kawalan 23 minit kemudian pada ketinggian lebih 30,000 kaki.

"Kemusnahan pesawat ini berlaku ketika ia sedang terbang, seperti yang terlihat menerusi serpihan pesawat yang bertebaran di kawasan seluas lebih 20 kilometer," kata Viktor Sorochenko, pengarah Jawatankuasa Penerbangan Nasional.

Jawatankuasa itu yang berpangkalan di Moscow, mewakili Komanwel Negara Merdeka (CIS) termasuk Russia dan beberapa negara bekas Kesatuan Soviet.

Sementara itu, pesawat yang membawa 162 mayat mayat mangsa nahas berlepas dari Lapangan Terbang Kaherah ke St Petersburg pada Ahad.

Seorang pegawai lapangan terbang berkata, pesawat Ilyushin-76 membawa mayat berkenaan untuk disemadikan di tanah air mereka. - AFP

208 dibaca
Berita Harian X