Isnin, 2 November 2015 | 7:59pm
LISA Surihani dalam babak filem Sinaran.

Lisa Surihani 'tabik spring' dengan Sheila Majid


LISA Surihani dalam babak filem Sinaran.

KUALA LUMPUR: Menyepi seketika kerana memberi tumpuan kepada fasa kehamilan dan kini bergelar ibu kepada Yahaira Leanne, Lisa Surihani kini sedang menghitung hari untuk melakukan 'come back' di arena seni menerusi filem Sinaran arahan Osman Ali.

Filem yang diedarkan GSC Movies ini akan mula ditayangkan pada 26 November ini.

Bagai disusun cantik, filem ini hadir di saat isteri tercinta kepada Yusry Abdul Halim itu sudah selesai tempoh berpantang.

Sinaran turut menyaksikan menjadi filem kedua Lisa bersama pengarah berkenaan.

Sebelum ini, Osman pernah mengarahkan Lisa membintangi filem Ombak Rindu di samping Aaron Aziz dan Maya Karin.

Lisa mengakui filem Sinaran yang menjalani penggambaran April tahun lalu di Singapura cukup bermakna.

Ini kerana selain menggabungkan karyawan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia, filem ini turut memberi tekanan positif kepada Lisa kerana ada latihan tarian dan bengkel lakonan sebelum pelakon memulakan penggambaran.

Lebih istimewa filem ini turut menyaksikan pembabitan Datuk Sheila Majid sebagai penampilan istimewa.

Penyanyi berusia 50 tahun ini memegang peranan sebagai mentor inspirasi kepada Lisa yang membawa watak Shila. Kali pertama dan terakhir Sheila Majid berlakon ialah menerusi filem Ali Setan pada tahun 1985.


LISA Surihani dalam babak filem Sinaran.

Lisa berkongsi cerita mengenai pengalamannya berada di lokasi penggambaran selama hampir sehari itu.

"Gembira Lisa bukan kepalang dapat berlakon dengannya. Dalam hati saya hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana perasaan dapat berada dekat dengannya di pentas lakonan.

"Depannya, memang Lisa berlagak 'cool' dan relaks. Tapi sebenarnya gementar jantung ini memang lain macam. Tetapi sesuatu yang harus dipuji, beliau sangat komited.

"Untuk babak membabitkan kami, ada kesan khas yang perlu dimasukkan. Kami juga perlu menangis dalam babak berkenaan. Memang ia antara babak yang memerlukan mainan emosi.

"Lakonan beliau juga sangat memberi dalam babak itu dan saya kena menerimanya sekali gus membalas balik dengan sebaiknya," kata Lisa teruja.

Babak bersama Sheila Majid itu diakui Lisa cukup memenatkan tetapi ia menjadi pengalaman yang cukup manis.

"Dari siang kami menjalani penggambaran itu hinggalah ke awal pagi keesokan harinya, beliau tak merungut dan tak ada langsung sikap diva. Ketika selesai penggambaran, beliau sempat bergurau dan beramah mesra dengan krew lagi. Dalam hati Lisa, beliaulah bintang yang tak menyusahkan.

"Sebagai yang lebih muda daripadanya, Lisa cukup menghormati dan mengagumi caranya bekerja," kata Pelakon Filem Wanita Terbaik FFM ke-23 (2010) dan FFM ke-26 (2013) untuk filem Lagenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang itu.

Berita Harian X