Isnin, 2 November 2015 | 10:04pm
ALLAHYARHAM Razimi Omar.

Jenazah jurulatih basikal Terengganu selamat dikebumikan


ISTERI Allahyarham Razimi Omar, Azuraiza Razat menyiram air mawar di pusara suaminya yang juga jurulatih lumba basikal Terengganu, selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Dungun, kira-kira jam 8 malam tadi. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Jenazah jurulatih lumba basikal Terengganu, Razimi Omar, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, dekat sini, malam ini.   

Allahyarham Razimi yang dibawa dengan van jenazah Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya tiba di rumah ibunya di Kampung Tanah Lot, di sini, kira-kira jam 5.50 petang hari ini.   

Jenazah kemudian dibawa naik ke rumah untuk tatapan terakhir ibunya, Selamah Md Lebar, 75, sebelum dibawa ke Masjid Sungai Udang untuk disolatkan.   

Sebaik selesai disolatkan, jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan, kira-kira jam 8 malam. 

 

Turut menziarahi, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Busu.   

Sementara itu isteri Allahyarham, Azuraiza Razat, 36, berkata, dia berterima kasih kepada semua yang hadir menziarahi arwah suaminya. 

 

Katanya, dia turut terharu dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin; Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Zainal Abidin Husin yang sanggup bersusah payah menguruskan jenazah arwah di Hospital Putrajaya.   

"Terima kasih pada semua yang bersusah payah menguruskan jenazah suami sehingga selesai. Budi baik semua amat saya hargai," katanya.   

Razimi yang baru pulang dari Kejohanan BMX Asia yang berlangsung di Napita, Myanmar petang semalam, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 8.20 malam selepas rebah ketika cuba membuka pintu van untuk menyimpan barang.

Berita Harian X