Selasa, 3 November 2015 | 10:01am

9 'pelombong ajaib' Chile saman peguam

LUIS Urzua (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Santiago. - Foto AFP
LUIS Urzua (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Santiago. - Foto AFP

SANTIAGO: Sembilan pelombong Chile yang mendapat perhatian dunia kerana lama terperangkap dalam lombong bawah tanah pada 2010, menyaman peguam mereka kerana dituduh menipu berhubung hak terhadap kisah mereka.

Kumpulan itu, sebahagian daripada 33 pelombong yang terperangkap selama 69 hari akibat runtuhan lombong bawah tanah di San Jose, di utara Chile, menuduh peguam Remberto Rodrigo Valdes dan Fernando Garcia menipu mereka menerusi satu aturan meragukan untuk menubuhkan sebuah syarikat bagi menguruskan hak mereka.

"Hari ini, kami diselamatkan lagi buat kali kedua," kata plaintif Luis Urzua, mandur yang bertindak sebagai ketua pelombong berkenaan. Beliau juga adalah yang terakhir naik ke permukaan ketika mereka diselamatkan.

"Kami sudah berjuang selama empat tahun untuk membuktikan bahawa hak kami telah diceroboh," katanya.

Sembilan plaintif berkenaan mendakwa Valdes dan Garcia 'mengelirukan 33 pelombong untuk percaya mereka akan uruskan sendiri syarikat, sebaliknya menipu hak dan sejumlah wang mereka'.

Pelombong berkata, dua peguam itu meyakinkan mereka untuk menubuhkan syarikat bagi menguruskan hak terhadap kisah mereka dalam insiden itu, dan mereka setuju melepaskan hak mereka itu kepada syarikat itu selepas masing-masing dibayar AS$5,700 (RM24,464). - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X