Selasa, 3 November 2015 | 4:07pm

Van Gaal tetap percaya Rooney

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Foto AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengisytiharkan dia masih meletakkan kepercayaan penuh kepada kaptennya, Wayne Rooney yang ketika ini beraksi di bawah prestasi sebenar.

"Dia mendapat lebih banyak pujian berbanding pemain yang lain," kata Van Gaal. "Saya sudah menjelaskannya sebelum ini satu setengah tahun yang lalu.

"Saya masih yakin kepada Wayne Rooney."

Rooney yang juga kapten England kekal selaku penjaring terbanyak United musim ini selepas meledak enam gol sekalipun tiga daripadanya hadir daripada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara bertemu Club Brugge.

Penyerang berusia 30 tahun itu nampak bergelut untuk kembali ke prestasi semasa dan hanya menjaringkan satu gol daripada tujuh perlawanan terakhir dan dua untuk kempen Liga Perdana Inggeris.

United gagal meledak gol dalam tiga perlawanan terakhir dan keputusan seri tanpa jaringan menentang kelab Russia, CSKA Moscow awal pagi ini dalam kempen Liga Juara-Juara akan melebarkan satu lagi rekod.

Begitupun, Van Gaal kekal dengan sokongannya terhadap penyerang terbanyak dalam sejarah bola sepak England itu.

"Kamu boleh membincangkan segala-galanya mengenai jaringan Wayne Rooney namun kamu juga boleh membincangkan mengapa kelab lain tidak menjaringkan gol," kata Van Gaal ketika sidang media di Old Trafford.

"Ia sentiasa Wayne Rooney. Saya boleh membayangkannya kerana Wayne Rooney adalah pemain yang menakjubkan, tahap jangkaan terhadapnya adalah tinggi berbanding pemain-pemain lain dalam kelab lain.

"Namun kami juga perlu memberikan pemain masa untuk kembali ke prestasi asal mereka dan itulah apa yang kami lakukan.

"Saya mempunyai keyakinan dengan pemain ini (Rooney) namun dia juga tidak sekadar memberikan jaringan. Dia adalah kapten kami, namun juga contoh kepada seluruh pasukan."

Ketika bekas penyerang Everton itu dijangka terus mengemudi jentera serangan United dalam Kumpulan B itu, Van Gaal begitupun tidak menafikan akan merehatkan penyerang kental itu pada perlawanan selepas itu.

Bekas penyerang England, Alan Shearer berkata dalam kolumnya di satu akhbar di England berkata Rooney seharusnya direhatkan untuk mengembalikan semula sinarnya.

"Ya, namun ia bukan hanya untuk Rooney," kata Van Gaal mengenai kenyataan itu.

"Saya sudah melakukannya kepada semua pemain saya. Sebagai contoh, Paddy McNair berehat seminggu di Ireland, minggu lalu.

"Apabila kami fikir ia lebih baik, saya melakukannya. Ia bukannya isu yang besar bagi saya kerana ketika saya masih jurulatih muda, saya melakukannya kepada Jari Litmanen (Ajax)."

Dalam kempen Liga Juara, United ketika ini berkongsi kedudukan empat mata bersama CSKA dalam Kumpulan B, dua mata di belakang kelab Jerman, Wolfsburg. - AFP

Berita Harian X