Selasa, 3 November 2015 | 8:22pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, (BN), Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Kelantan mampu kurangkan defisit jika kuatkuasa kutipan terhadap GLC

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan boleh mengurangkan defisit RM45.61 juta dalam Bajet 2016 jika menguatkuasakan kutipan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, beliau meneliti bajet yang dibentangkan sejak tiga tahun lalu dan mendapati anggaran perbelanjaan adalah tinggi, namun capaian terhadap perbelanjaan pula adalah rendah.

"Kelantan sepatutnya tak ada defisit kerana ada bantuan daripada kerajaan Persekutuan serta (unjuran) hasil yang diperoleh adalah tinggi.

"Namun penguatkuasaan kutipan terhadap GLC kerajaan negeri langsung tiada walaupun ada dalam unjuran sebelum ini," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2016 bagi negeri itu dengan defisit RM45.61 juta berbanding defisit RM70.69 juta dalam bajet tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan bajet itu berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM593.80 juta pada tahun hadapan, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak RM639.41 juta.

Md Alwi berkata, antara contoh kegagalan penguatkuasaan kutipan adalah terhadap syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sawit apabila kerajaan negeri menetapkan kutipan dalam Bajet 2015 adalah sebanyak RM10 juta.

"Bagaimanapun tiada sebarang kutipan dilakukan. Kes sama juga berlaku kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya.

Beliau turut menyentuh teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan syarikat pelaburan Kelantan Gold Trade (KGT) Sdn Bhd yang telah mengalami kerugian sebelum cukai yang meningkat kepada RM0.67 juta.

"Keuntungan sebelum cukai KGT menurun kepada RM2,556,000 iaitu turun 100 peratus daripada RM25 juta pada 2011, manakala kerugian sebelum cukai meningkat sejumlah 0.63 juta atau 3,753.1 peratus.

"Saya minta Menteri Besar perbetulkan (perkara ini) kerana ia bukan salah beliau, tapi salah pentadbiran terdahulu," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X