Rabu, 4 November 2015 | 12:02am

Dikejar pihak berkuasa tinggal di Makkah tanpa visa

MINAT dalam bidang agama sejak kecil mendorong pendakwah bebas, Rahimi Mohd Rashid, 48, yang berasal dari Kampung Gaung Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan memasuki aliran agama selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Anak kelima daripada tujuh beradik yang kini mengasaskan Pondok Tahfiz al-Quran Wadi Iman di Kampung Guntong Tembila, Besut, Terengganu berasakan dengan hanya menceburi bidang agama, dia dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

Oleh itu, beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Rahimi Al-Madani nekad mengikuti pengajian di Pondok Pasir Tumbuh selama tiga tahun walaupun berdepan cabaran mempelajari bahasa Arab dengan menggunakan kaedah lama seperti terpaksa menghafal, mendalami dan menguasai bahasa Arab.

Dengan berlatarbelakangkan keluarga yang susah iaitu bapanya hanya bekerja kampung, Rahimi terpaksa bekerja sebagai buruh kontrak membuat jalan raya pada waktu siang untuk mengumpul duit bagi membiayai pengajian di pondok pada waktu malam.

Daripada wang hasil pekerjaan berkenaan juga, beliau berjaya mengumpul wang sebanyak RM2,500 untuk dijadikan tambang ke Makkah, Arab Saudi, untuk menunaikan umrah pada tahun 1989 ketika berusia 20 tahun.

Walaupun visa yang diperoleh untuk menunaikan umrah pada Ramadan ketika itu hanya untuk dua minggu, Rahimi mengambil risiko dengan tinggal lebih masa di Makkah demi melanjutkan pengajian untuk mendalami bidang agama.

"Dengan wang sebanyak RM2,500, ia sudah cukup untuk membiayai tambang ke Makkah dan selebihnya saya hanya bertawakal kepada Allah," katanya yang yakin kepada pertolongan Allah dan percaya Makkah mampu menyediakan sumber kewangan yang luas kepada pelajar seperti dirinya.

Di kota Makkah, Rahimi tinggal di perkampungan di kawasan berbukit berbatu Ajyad Sud yang turut didiami ramai pelajar berasal dari Kelantan dan Pattani, Selatan Thailand.

Di sana, beliau belajar pelbagai bidang ilmu seperti tafsir dan hadis hampir setiap hari di Masjid Pattani yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram di bawah bimbingan ulama dari Pattani dan pernah bertugas sebagai guru di Masjidil Haram.

Selain itu, sepanjang empat tahun di Makkah, beliau juga menuntut ilmu di bawah bimbingan pelbagai guru yang mengajar berhampiran pintu Babus Salam dan Babus Fattah di Masjidil Haram pada setiap malam Selasa dan Jumaat.

Bagi menampung kehidupannya di Makkah, Rahimi mengambil peluang bekerja sebagai mutawif kepada jemaah umrah dan haji yang diuruskan oleh orang perseorangan.

Dengan pendapatan yang diperoleh sebagai mutawif pada sepanjang Ramadan dan musim haji, ia mampu menampung keperluan belajar dan membayar sewa rumahnya selama setahun di Makkah.

Ditanya mengenai keadaan keselamatan diri sepanjang berada di Tanah Suci, Rahimi mengakui berdepan dengan dugaan seperti kawasan penempatannya dikepung pihak berkuasa atau rumahnya diserbu tetapi beliau selalu terselamat kerana mengambil sikap berhati-hati.

Beliau berkata, selama tinggal di Makkah, dia pernah dikejar pihak berkuasa ketika hendak pergi atau balik daripada belajar di Masjidil Haram sebanyak enam kali selain kediamannya diserbu kira-kira tiga kali setahun.

Katanya, bila terserempak dengan pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan terutama di simpang lorong untuk ke Masjidil Haram, dia akan berlari sekuat hati menaiki anak tangga ke arah bukit untuk menyelamatkan diri.

"Kebanyakan anggota tentera atau polis di Makkah akan hanya mengejar separuh jalan kerana mereka berdepan masalah tapak kasut tebal dan keras yang tidak sesuai digunakan untuk berlari dan memanjat kawasan bukit berbatu.

"Malah, saya dan rakan-rakan kadang-kadang menerima maklumat awal daripada penduduk tempatan mengenai serbuan yang akan dilakukan menyebabkan kami bertindak awal dengan bersembunyi di kawasan bukit selama berjam-jam sehingga ke jam 2 pagi.

"Bagi saya, semua cabaran ini adalah kemanisan dalam mendapatkan ilmu serta menjadikan diri lebih tabah dalam menghadapi pelbagai dugaan," katanya yang mengakui turut mengamalkan doa tertentu untuk mengelak sebarang masalah ketika di perantauan.

Mengenai keupayaannya untuk melakukan perubatan secara Islam, Rahimi berkata, ia bermula apabila timbul rasa kesal kerana tidak dapat memberikan sebarang bantuan apabila menziarahi orang yang ditimpa musibah.

Bermula tahun 2008, beliau mulai belajar mengenai kaedah rawatan Islam tanpa menggunakan khidmat jin untuk mengubati pesakit di pelbagai tempat seperti di Kelantan, Johor, Pattani serta Demak dan Bandung, Indonesia.

"Alhamdulillah, dengan dua pusat rawatan Islam Al-Madani iaitu di Taman Nik Kampung Baung, Kota Bharu serta Taman Ukay Bistari, Ampang, ia menjadi saluran untuk saya mendapatkan dana bagi menampung pembinaan dan perbelanjaan Pondok Tahfiz al-Quran Wadi Iman.

"Selain anak tempatan, kami juga mempunyai 11 pelajar dari Kemboja di pondok tahfiz kami dan saya sangat berharap kerajaan memberi kelonggaran dalam pemberian visa kepada ramai pelajar Kemboja yang begitu berminat untuk belajar agama di negara ini.

"Mungkin kita boleh berikan kelonggaran kepada pelajar yang berusia sembilan hingga 17 tahun kerana mereka memang jelas datang untuk belajar dan bukan untuk bekerja di negara ini. Ia sekali gus mampu menjadi Malaysia terkenal sebagai sebuah negara ilmu," katanya.

Berita Harian X