X
Rabu, 4 November 2015 | 1:29pm

Bayaran balik PTPTN RM146j pada September

KUALA LUMPUR: Kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkat kepada RM146 juta pada September lalu, berbanding RM57 juta pada Mei 2015, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata ia didorong beberapa inisiatif yang dijalankan seperti pembukaan 71 cawangan PTPTN seluruh negara yang beroperasi hingga jam 10 malam bagi memudahkan urusan bayaran balik.

"Selain itu, antara kemudahan lain yang disediakan untuk bayaran balik pinjaman adalah melalui kad ATM, kad kredit dan kad debit," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang minta kementerian berkenaan menyatakan jumlah peminjam PTPTN oleh golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Yap berkata PTPTN belum lagi bercadang untuk mewujudkan skim khas pinjaman khusus untuk golongan OKU kerana setakat ini peluang untuk meminjam adalah terbuka kepada semua warga negara. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X