Jumaat, 3 Oktober 2014 | 3:46pm

KDNK langkah tepat ukur pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi yang konsisten yang ditunjukkan menerusi angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berjaya meningkatkan kadar upah dan kualiti hidup rakyat Malaysia.

Pengguna kini mempunyai lebih banyak produk dan perkhidmatan untuk dipilih, serta pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, semuanya hasil dasar ekonomi yang diurus dengan baik, yang terus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Dan untuk mengesahkan keadaan itu, sudah pasti KDNK menjadi ukuran tepat mengenai kedudukan kita yang mewah.

Namun, pengkritik yang mengatakan sebaliknya, tidak membuat sebarang usaha untuk memahami asas-asas ekonomi.

Sudah sampai masanya rakyat mula melihat fakta dan membuat pendirian sendiri berdasarkan logik pintar, dan bukannya akur dengan menyebelahi pengkritik.

Angka KDNK menunjukkan prestasi ekonomi negara untuk tempoh sesuatu suku atau tahun sebelumnya.

Malangnya, walaupun majoriti dapat memahami pertumbuhan KDNK yang positif baik untuk semua rakyat Malaysia, sebahagian minoriti masih gagal mengakuinya atau sengaja menafikannya.

Antara 2011 dan 2013, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan dengan KDNK dicatatkan pada 5.2 peratus setahun.

Bagi separuh pertama 2014, KDNK pada 6.3 peratus, didorong terutama oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.

Apakah makna sebenar angka-angka ini? Untuk memahaminya, kita perlu memahami maksud sebenarnya KDNK.

Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di dunia, mengukur KDNK menggunakan tiga kaedah iaitu perbelanjaan, jenis aktiviti ekonomi dan pendapatan.

Kaedah perbelanjaan dikira dengan menambah jumlah penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih.

Eksport bersih ialah ukuran pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dipasang dan dikeluarkan di Malaysia dan dijual di luar negara dan ditolak import.

Penggunaan ialah apa yang dibelanjakan oleh orang ramai ke atas barangan seperti makanan, petrol untuk kereta dan pakaian, serta perkhidmatan seperti dandanan rambut, rawatan doktor, menghantar WhatsApp menggunakan telefon pintar dan menonton wayang di pawagam.

Paras ekonomi yang sihat dari segi penggunaan menunjukkan perniagaan yang berkembang maju.

Perniagaan yang berkembang maju mewujudkan pekerjaan dan secara amnya mengurangkan paras pengangguran.

Ia juga bermakna bahawa wang yang beredar dalam ekonomi, yang memperuntukkan pendapatan yang lebih tinggi serta pendapatan peribadi dan korporat yang lebih tinggi.

Pelaburan pula dikaitkan dengan pewujudan pekerjaan, seperti peningkatan keupayaan produktif negara yang menyediakan lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan, yang menjadi lebih ketara dengan kehadiran warga asing yang mencuba nasib mereka di Malaysia.

Selain itu, wang juga datang daripada pelaburan langsung asing daripada pelabur terkemuka seperti Intel, Samsung, Honda dan lain-lain.

Sebahagian besar pelaburan adalah dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan kewangan serta sektor borong dan runcit.

Beberapa strategi pelaburan Malaysia dimasukkan dalam lingkungan Program Transformasi Ekonomi, bertujuan menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Perbelanjaan kerajaan jelas dalam bentuk prasarana yang banyak - dari segi pengangkutan awam, penjagaan kesihatan termasuk hospital, klinik 1Malaysia dan perkhidmatan pendidikan dan sekolah.

Di samping itu, ia meliputi pakej rangsangan untuk menggalakkan perniagaan, dan pembaikan am untuk masyarakat awam dalam bentuk sukan, budaya dan kemudahan seni.

Ia juga termasuk inovasi dalam perkhidmatan penyampaian kerajaan seperti Pusat Transformasi Bandar - yang boleh didapati di Pudu dan di Sentul Kuala Lumpur, Kuantan, Melaka, Ipoh dan Alor Setar - dan Pusat Transformasi Luar Bandar seperti di Gopeng dan Kota Bharu.

Bagi pengkritik, isu utama mereka ialah masih tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi kehendak mereka.

Angka, bagaimanapun, menunjukkan bahawa gaji di Malaysia sudah meningkat, dengan gaji kepada nisbah KDNK meningkat daripada 29.3 peratus pada 2008 kepada 33.6 peratus pada 2013.

Upah merujuk kepada bayaran yang diperoleh pekerja yang menjalankan tugas mereka dalam bentuk tunai atau barangan, seperti gaji dan upah, ganjaran, bonus, subsidi dan manfaat.

KDNK yang berkaitan dengan gaji, digunakan untuk mengukur produktiviti. Oleh itu peningkatan nisbah gaji kepada KDNK menunjukkan bahawa pekerja kini dibayar atas produktiviti mereka berbanding pada 2008.

Pada 2012, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan, purata pendapatan isi rumah ialah RM5,000 sebulan manakala pendapatan median sebanyak RM3,626 sebulan.

Dalam dua tahun, berdasarkan data awal, purata pendapatan isi rumah sudah meningkat kepada RM5,919 manakala pendapatan median sebanyak RM4,258, yang mana pendapatan median tahunan berkembang sebanyak 8.2%. Isi rumah membabitkan 4.2 individu.

Ada juga yang mendakwa bahawa kenaikan kos sara hidup melampaui peningkatan gaji. Ini adalah pendapat yang kurang bijak.

Bagi tujuh bulan pertama tahun 2014, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang memantau harga barangan tidak tahan lama dan tidak mudah rosak, mencatat purata 3.3 peratus setahun. Ini bermakna kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah melebihi peningkatan harga barangan.

Ini menyebabkan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan taraf hidup, seperti yang terbukti daripada perubahan pilihan pengguna dan corak tingkah laku penggunaan.

Justeru, pengiraan pertumbuhan ekonomi melalui KDNK adalah ukuran tepat mengenai pertumbuhan ekonomi negara, yang didorong oleh dasar-dasar propertumbuhan yang mengambil kira kebajikan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X