Khamis, 5 November 2015 | 6:30pm

Jangan tertipu individu dakwa wakil MYEG ambil pekerja asing

Datuk Nur Jazlan Mohamed
Datuk Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mahu mengambil semula pekerja asing dinasihat supaya tidak tertipu dengan individu yang mendakwa mereka memberikan perkhidmatan bagi pihak syarikat MYEG dalam proses pengambilan semula pekerja asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya sudah mendapatkan kepastian daripada syarikat MYEG bahawa syarikat tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Saya sendiri meninjau sistem dalam talian yang ditawarkan syarikat MYEG untuk proses PLKS dan berpuas hati dengan tahap keselamatan sistem berkenaan yang tidak mudah diceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini, selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat MYEG Bhd di, Bandar Utama, semalam.

Nur Jazlan berkata, orang ramai perlu menggunakan sistem dalam talian MYEG bagi proses PLKS kerana ia mudah, jimat dan pantas.

Katanya, program pengambilan semula pekerja asing sebenarnya belum dilaksanakan secara menyeluruh, atas sebab itu orang ramai perlu berhati-hati dengan dakwaan individu bahawa mereka adalah orang tengah kepada Kementerian Dalam Negeri atau MYEG.

- BERNAMA

Berita Harian X