Khamis, 5 November 2015 | 7:20pm

Malaysia kekal tangga ke-171 ranking FIFA

KUALA LUMPUR: Kemenangan pada dua perlawanan termasuk kempen kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 bertemu Timor Leste tidak membantu memperbaiki ranking Harimau Malaya yang kekal di kedudukan ke-171 dunia.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), hari ini, skuad bimbingan jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee kekal di kedudukan tercorot pernah dilakar skuad negara sejak 1993.

Sekalipun kemenangan ke atas Timor Leste pada 13 Oktober dan Laos (8 Oktober) pada aksi persahabatan memberikan tambahan 16 mata kepada Malaysia yang meningkatkan jumlah pungutan mata daripada 111 kepada 127 mata, kedudukan ranking kekal tidak berubah.

Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kelima tercorot mengatasi Indonesia (174), Laos (176), Kemboja (183) dan Brunei (186).

Timor Leste yang ditewaskan Malaysia pada 13 Oktober lalu juga turut berada di ranking lebih baik di kedudukan ke-162 dunia.

Filipina kekal selaku negara Asia Tenggara memiliki ranking paling baik apabila menghuni ranking ke-137 diikuti Thailand, 144 dunia.

Ia diikuti Vietnam (147), Singapura (152) dan Myanmar di kedudukan 161 dunia manakala Iran kekal selaku negara terbaik di Asia di kedudukan 43 ranking dunia.

Kim Swee sebelum ini pernah menyuarakan harapan dua perlawanan antarabangsa itu dapat dijadikan medan terbaik untuk memperbaiki ranking terburuk yang kini diratapi Harimau Malaya.

Malaysia akan meneruskan kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 berdepan Palestin dan UAE pada 12 dan 17 November ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X