Jumaat, 6 November 2015 | 3:34pm

Badan standard kualiti kewangan Islam dilancar


TIMBALAN Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Institut Profesional Kewangan Islam Berkanun (CIFF) dilancarkan di sini, hari ini, sebagai badan profesional yang bertanggungjawab bagi menetapkan standard kualiti global untuk profesional kewangan Islam.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim.

"CIFF adalah sebuah entiti yang baru ditubuhkan bagi menggantikan Persatuan Profesional Kewangan Islam Berkanun Malaysia (ACIFP), dijangkakan dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan etika dalam industri itu," kata Muhammad dalam ucapannya.

Beliau berkata penubuhan CIFF dibuat berikut keperluan yang semakin meningkat untuk titik rujukan global dalam pembangunan bakat profesional memandangkan industri kewangan Islam terus berkembang di peringkat antarabangsa.

"Kami mahukan CIFF menjadi badan dunia untuk profesional dalam kewangan Islam.

"Seperti yang kita harapkan, CIFF akan menjadi pemandu utama dan menyokong profesionalisme dan tingkah laku beretika, dan kita mahukan badan baharu ini menerima pakai amalan terbaik global institusi profesional yang sama," katanya.

Pada pelancaran itu, CIFF dan penggiat utama industri, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) menandatangani Piagam Profesional Kewangan Islam, sebagai tanda komitmen masing-masing dalam mengukuhkan lagi pembangunan tenaga mahir dalam Islam kewangan.

"CIFF akan meneruskan mandat asal yang dipegang oleh ACIFP, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2011-2020 Bank Negara Malaysia, sebagai badan profesional bertanggungjawab bagi menetapkan standard kualiti global dalam kalangan profesional kewangan Islam.

"Penetapan standard dijangka merangsang pengembangan asas keanggotaannya di seluruh dunia," kata Presiden CIFF Badlisyah Abdul Ghani pada pelancaran itu.

Pada sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata bilangan anggota semasa CIFF seramai240, boleh mencecah 3,000 menjelang tahun depan.

- BERNAMA

Berita Harian X