Sabtu, 7 November 2015 | 12:05am
Nasi Lemak Paris di hadapan mercu tanda Paris Tower.
Kad bisnes Nasi Lemak Paris.
Affy bersama Keith Foo yang banyak membantu memperkenalkan Nasi Lemak Paris kepada umum.
Bahan mentah halal diperoleh dengan bantuan rakan atau pelanggan yang membawanya dari tanah air.

Nasi Lemak Paris



NASI lemak Paris? Kedengarannya agak janggal. Apa lagi membayangkan untuk menikmati sebungkus nasi lemak berlaukkan sambal paru atau udang petai di tengah Metropolitan yang berlatarbelakangkan Menara Eiffel, kecuali jika anda membawa bekalan yang dimasak sendiri.

Namun, di tengah kerancakan media sosial yang menjadi medium utama dalam berkomunikasi, kini bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk anda menikmati hidangan nasi lemak sekiranya sedang bercuti di Paris.

Semuanya hasil kegigihan tiga anak muda Malaysia yang boleh dianggap sebagai pelopor dalam mengusahakan perniagaan makanan kegemaran rakyat Malaysia, di kota yang menggamit kunjungan jutaan penduduk dunia itu.

Tempahan dalam talian

Bercita-cita besar untuk mengusahakan perniagaan kafe makanan halal Malaysia di sana, Mohd Afizuddin Ahmad Apandi, (Affy), Al Qayyum Mafaudzil (Qayyum) dan Fauzi Azami, (Jimmy) yang masing-masing berusia 28 tahun, memulakan perniagaan itu sejak tiga bulan lalu dengan menerima tempahan secara atas talian.

"Ini semua kerana kami berkongsi minat yang sama iaitu suka melancong dan mengembara. Saya dan Qayyum begitu meminati kota London dan Paris hingga kadang kala menghabiskan masa selama sebulan di negara ini.

Nasi Lemak Paris di hadapan mercu tanda Paris Tower.

"Saya pula sebelum ini bekerja di Jeddah selama empat tahun, menguruskan sebuah restoran Malaysia di sana. Tahun lalu, apabila pulang ke tanah air terdetik idea untuk mengusahakan perniagaan ini. Ditambah pula dengan kegemaran saya yang suka memasak manakala Qayyum pula suka makan, maka lahirlah Nasi Lemak Paris," katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

Menceritakan perancangan awal mereka, Affy berkata pada asalnya mereka mempunyai dua pilihan sama ada Shanghai atau Paris.

"Tetapi disebabkan sudah biasa dengan ibu negara Perancis ini, rancangan untuk berniaga nasi lemak di China terpaksa kami lupakan.

"Alhamdulillah, walaupun baru tiga bulan, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada kalangan rakyat Malaysia sendiri yang melancong ke sana," kata anak kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Nasi Lemak Paris yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan termasuk daripada golongan kenamaan hingga selebriti tempatan.

Lauk tambahan

Affy berkata, Nasi Lemak Paris menyediakan nasi lemak biasa dengan sambal, ikan bilis goreng, telur rebus, kacang goreng dan timun yang dijual pada harga 6 euro (RM28).

"Pelanggan juga mempunyai pilihan lauk tambahan seperti ayam goreng atau sambal udang yang dijual pada harga 8 euro (RM37) manakala tambahan 1 euro (RM4.60) dikenakan untuk petai bagi sambal udang selain lauk sambal paru yang berharga 9 euro (RM42).

"Tiada tempahan minimum ditetapkan kepada pelanggan yang mahukan nasi lemak tetapi setiap pesanan perlu dibuat sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu penghantaran.

"Penghantaran pula adalah secara percuma di sekitar kota Paris tetapi tempahan minimum sebanyak 50 euro (RM234) dikenakan bagi kawasan di luarnya," katanya.

Sama seperti kelaziman nasi lemak yang dijual di tanah air, Nasi Lemak Paris juga dibungkus dalam bungkusan kertas, lengkap dengan cetakan Menara Eiffel sebagai logo rasminya berserta dengan nombor telefon dan alamat Instagram serta Facebook, untuk tempahan.

"Bungkusan kertas itu memang menjadi tanda pengenalan yang juga identiti Nasi Lemak Paris. Tetapi untuk lauk kami asingkan di dalam bekas plastik untuk memudahkan pelanggan menikmatinya pada bila-bila masa yang mereka inginkan," katanya.

Nasi Lemak Paris.

Menu Asia

Bukan saja nasi lemak, Affy berkata mereka juga menyediakan pilihan menu lain antaranya nasi ayam (8 euro), nasi minyak berlaukkan ayam masak merah (9 euro), nasi dagang Terengganu bersama gulai ikan tongkol yang dijual pada harga 13 euro (RM60) dan nasi kukus dengan gulai ayam Terengganu (8 euro).

Bagaimanapun, katanya, untuk menu berkenaan pelanggan perlu membuat lima tempahan minimum yang perlu dipesan sehari sebelum waktu penghantaran.

"Kami juga menyediakan hidangan dan lauk pauk Malaysia yang lain mengikut permintaan pelanggan seperti masak lemak cili padi ayam, ikan, daging atau udang yang disertakan bersama dengan sambal belacan dan timun.

"Selain itu, menu negara Asia lain seperti pecel ayam Indonesia dan nasi katok Brunei juga ada untuk memenuhi keinginan pelanggan dari negara terbabit," katanya.

Beliau berkata, selain pelancong dari Malaysia, pelanggan Nasi Lemak Paris adalah dari Brunei, Singapura dan Indonesia selain kira-kira 10 peratus daripada penduduk tempatan Paris sendiri.

Affy ketika menghantar pesanan kepada pereka fesyen, Rizalman Ibrahim, yang mengunjungi Paris baru-baru ini.

Golongan kenamaan

Katanya, tempahan juga kebanyakannya diterima daripada ejen pelancongan yang sememangnya banyak membantu memperkenalkan perniagaan mereka kepada pelanggan.

Affy berkata, beliau dan dua rakannya itu berbangga dengan pencapaian Nasi Lemak Paris setakat ini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan termasuk daripada golongan kenamaan hingga selebriti tempatan.

"Antara mereka yang pernah mendapatkan khidmat kami adalah Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; pereka fesyen, Rizalman Ibrahim; dan pelakon, Keith Foo yang turut mempromosikan khidmat kami menerusi media sosial mereka.

"Malah Keith Foo dan teman wanitanya, Kimchi Raymond, kami sifatkan sebagai pembuka jalan yang memperkenalkan perniagaan kami kepada pelanggan," katanya.

Affy berkata, di sebalik kejayaan yang dinikmati, beliau dan rakannya tidak melupakan tanggungjawab sosial terutama kepada pelajar Malaysia yang berada di sana.

"

Setiap Jumaat kami akan memberikan sebanyak 10 bungkus hidangan secara percuma kepada pelajar yang datang mengambil sendiri pesanan di rumah kami," katanya.

Keith Foo sedang menikmati Nasi Lemak Paris.

Rancang buka kafe Nasi Lemak Paris di Eropah

Biarpun latar belakang pendidikan mereka berbeza, namun ketiga-tiga sahabat ini mempunyai minat dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang mendorong mereka untuk mengusahakan perniagaan ini.

Affy berkata, beliau sendiri adalah berkelulusan dalam bidang perakaunan tetapi pernah berpengalaman menguruskan restoran Malaysia di Jeddah.

Manakala Qayyum yang berasal dari Kuala Lumpur pula mempunyai pengalaman menguruskan restoran keluarganya di tanah air, walaupun beliau sendiri berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan kewangan.

"Jimmy yang berasal dari Kedah juga berkelulusan kejuruteraan elektronik tetapi meminati perniagaan kerana pernah terbabit dalam bidang peruncitan.

"Kami mempunyai cita-cita untuk membuka kafe halal Nasi Lemak Paris bukan di Paris ini saja, tetapi di setiap kota di negara Eropah dan sekali gus mempopularkan makanan kebanggaan rakyat Malaysia ke rantau ini. Itu adalah perancangan besar kami," kata Affy mengulas rancangan masa depan mereka.

Qayyum, Affy dan Jimmy (dari kiri) menjadi pelopor makanan Malaysia di Paris.

Suntikan modal

Beliau berkata, bagaimanapun tumpuan mereka sekarang adalah untuk mengusahakan kafe di Paris terlebih dulu yang diharapkan dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

Katanya, walaupun banyak pihak yang berminat dan sudi untuk memberikan suntikan modal kepada mereka tetapi semua tawaran itu terpaksa diketepikan dulu kerana mahu melakukan semuanya atas usaha sendiri.

Affy berkata pada masa ini, beliau dan kawannya menyewa sebuah rumah di kawasan Islam, tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong terkemuka, Sacre Coeur Basilica dan Montmartre.

"Ini untuk memudahkan kami mendapatkan bahan mentah dalam memenuhi tempahan pelanggan dan yang penting ianya adalah halal.

"Bagi barangan lain yang hanya boleh didapati dari Malaysia, kami kadang kala meminta bantuan rakan atau mungkin pelanggan sendiri yang akan datang ke Paris bagi membawa beberapa keperluan dari tanah air.

"Alhamdulillah setakat ini kami belum menghadapi keputusan bekalan kerana mendapat kerjasama yang baik daripada mereka," katanya.

Berita Harian X