Sabtu, 7 November 2015 | 12:07am
GURU agama mengajar kanak-kanak di Rumah Perlindungan Titian Kaseh, Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri

Asmaul Husna ganti nama Abdullah



KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan penggunaan nama bapa mengikut senarai Asmaul Husna, selain Abdullah bagi pendaftaran nama anak tidak sah taraf yang status beragama Islam.

Bagaimanapun, pemilihan nama Asmaul Husna yang ditambah Abdul di hadapannya digalakkan, bagi mengelak kekeliruan berkaitan wali, harta pusaka dan kematian.

Jurucakap JPN berkata, definisi anak tidak sah taraf mengikut Islam adalah bayi yang dilahirkan ibu tanpa akad nikah yang sah mengikut Islam atau lahir dalam tempoh kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan pasangan ibu bapanya.

Beliau berkata, proses pendaftaran kelahiran bagi anak tidak sah taraf di JPN adalah berdasarkan kepada keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 28 Januari 1981.

"Dalam hal ini, anak itu hanya boleh dinasabkan (bin atau binti) kepada Abdullah atau mana-mana nama Asmaul Husna yang lain. Dia tidak boleh (bin atau binti) kepada orang yang mengaku diri sebagai bapa.

"Bagaimanapun, maklumat bapa boleh dicatatkan dalam sijil kelahiran dengan persetujuan bersama antara ibu kandung dan orang yang mengaku sebagai bapa dan menandatangani daftar secara bersama di hadapan Pendaftar Kelahiran," katanya dalam satu kenyataan kepada BH.

Jurucakap JPN menjelaskan, nama pada kelahiran jika dinasabkan kepada Abdullah, boleh dipinda kepada nama daripada senarai Asmaul Husna lain, sebelum anak itu mencapai umur satu tahun.

Bagi anak pasangan bukan Islam, definisi anak tidak sah taraf adalah ketika kelahirannya, ibu bapa tidak berkahwin mengikut mana-mana undang-undang sivil yang terpakai di negara ini.

Beliau berkata, sebarang kelahiran yang didaftarkan tanpa nama bapa, tidak boleh dianggap sebagai anak tidak sah taraf.

"Dua kategori anak tak sah taraf, iaitu anak yang dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah ibu bapa atau anak yang dilahirkan kurang enam bulan Qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapanya, maka hanya nama kanak-kanak dan ibu sahaja didaftarkan. Maklumat bapa tidak didaftarkan.

"Kategori kedua ialah anak yang dilahirkan tetapi ibu bapa yang tidak dapat mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah, maka hanya maklumat bayi dan ibu didaftarkan pada sijil kelahiran.

"Bagaimanapun, kemasukan maklumat bapa boleh dibuat selepas mendapat pengesahan perkahwinan daripada Jabatan Agama Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pengetahuan masyarakat terhadap penggunaan nama selain Abdullah, sebagai nama bapa kepada bayi tidak sah taraf atau luar nikah, masih kurang, sekali gus boleh menimbulkan stigma negatif.


Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang

Beliau berkata, kebiasaannya ibu bapa yang belum mengesahkan pernikahan mengikut undang-undang akan mendaftar kelahiran bayi dengan JPN menggunakan bin atau binti Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada masa depan golongan yang menjadi mangsa keadaan itu.

"Sekiranya kelahiran bayi sudah didaftarkan menggunakan nama Abdullah, ibu bapa berkenaan masih boleh mengemas kini nama bapa selepas mendapat perintah mahkamah yang mengesahkan perkahwinan mereka.

"Tidak perlu bimbang mengenai prosedur pengesahan pernikahan yang hanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan jika semua dokumen dan saksi perkahwinan lengkap.

"Malah, pegawai JPN yang bertanggungjawab mendaftarkan kelahiran anak terbabit perlu menerangkan secara terperinci kepada ibu bapa mengenai prosedur yang berjaya ketika mendaftarkan kelahiran anak tak sah taraf," katanya kepada BH.

Musa memberi contoh kes kendaliannya tiga tahun lalu, seorang anak guamnya mengemas kini nama bapa kepada dua anak selepas suami yang dinikahi di negara jiran tidak mengaku berkahwin dengan wanita itu.

"Berikutan penafian suami wanita itu, mahkamah memerintahkan bahawa perkahwinan mereka tidak sah, menyebabkan anak guam saya mengemas kini nama bapa kedua-dua anaknya dalam surat beranak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, prosedur operasi standard (SOP) permohonan dan birokrasi perkahwinan perlu dipermudahkan bagi mengelak pasangan menggunakan sindiket yang akhirnya menyukarkan pendaftaran kelahiran anak.

Malah, katanya, proses sedemikian boleh dipermudahkan dan diselesaikan pada hari sama permohonan dibuat dengan syarat semua dokumen yang diperlukan sudah lengkap.

Prosedur itu, katanya, merujuk kepada perkahwinan yang perlu disegerakan kerana bukan semuanya dirancang terlebih dahulu, tetapi ada sebab yang memerlukan urusan berkenaan disegerakan.

"Proses dokumentasi boleh disegerakan sebagaimana permohonan pasport yang diselesaikan dalam satu hari sahaja.

"Proses mengambil masa panjang dengan banyak borang, menyukarkan masyarakat yang kurang pengetahuan dan tiada kemampuan, khususnya di pedalaman mengambil jalan singkat tanpa memikirkan kesannya pada masa depan," katanya.

Berita Harian X