Sabtu, 7 November 2015 | 9:32pm

Pengusaha kedai makan terjejas bauksit terima sagu hati

GAMBAR fail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohamed Suhaimi Md.Shah meninjau tapak kawasan pusat mencuci bauksit yang beroperasi secara haram di Felda Bukit Sagu Satu, Kuantan pada 3 November lalu. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohamed Suhaimi Md.Shah meninjau tapak kawasan pusat mencuci bauksit yang beroperasi secara haram di Felda Bukit Sagu Satu, Kuantan pada 3 November lalu. - Foto NSTP

KUANTAN: Pengusaha kedai makan di sekitar Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu yang perniagaan mereka terjejas akibat kegiatan perlombongan bauksit, kini boleh menarik nafas lega apabila pengusaha lombong bersetuju memberi sagu hati sebagai ganti rugi.

Penaung Jawatankuasa Penyelesaian Masalah Bauksit Bukit Goh, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata selain itu pengusaha lombong juga bersetuju membayar kos baik pulih kerosakan dan pencucian jalan yang tercemar ekoran kegiatan itu.

Katanya, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat penerangan prosedur operasi standard (SOP) pemasangan pagar dan permasalahan semasa bauksit yang diadakan di sini hari ini.

"Sejak aktiviti perlombongan bauksit dijalankan di kawasan itu, pelbagai isu ditimbulkan masyarakat terutamanya soal kerosakan jalan raya dan pencemaran udara daripada debu bauksit.

"Dalam mesyuarat hari ini pengusaha lombong sepakat untuk memperbaiki kesan pencemaran yang berlaku tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh kira-kira 30 pengusaha lombong, kontraktor serta wakil masyarakat setempat.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga menetapkan setiap pengusaha perlu akur dengan beberapa syarat dan SOP yang telah diputuskan antaranya hanya dibenarkan mengangkut bauksit dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang sahaja selain tidak boleh beroperasi ketika hari hujan.

"Pihak jawatankuasa akan memantau keadaan ini dan pintu pagar akan dibina di kesemua laluan masuk dan keluar daripada tapak perlombongan.

"Jawatankuasa juga akan mengambil alih kerja-kerja pencucian jalan bagi memastikan ianya dijalankan secara lebih sistematik dan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Sohaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing turut mengingatkan pengusaha bauksit supaya mementingkan kepentingan awam selain melakukan operasi secara berhemah bagi menjaga hati masyarakat.

"Saya harap SOP yang dibuat ini dipatuhi sepenuhnya, saya mahu melihat penambahbaikan yang ketara dari segi masalah debu, jalan kotor dan kerosakan jalan yang berlaku selepas ini," katanya.

--BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X