Ahad, 8 November 2015 | 7:05am

2 emas untuk negara ski air Asia

Arianna Chow

KUALA LUMPUR: Skuad negara mengakhiri kemarau pingat apabila menggondol dua pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Ski Air & Papan Luncur Asia 2015 di Tasik Rabbit, Bangkok, semalam.

Peserta wanita negara, Arianna Chow, yang kembali semula beraksi selepas enam bulan ekoran kecederaan lengan kanan pada Terbuka Indonesia, pada Mac lalu, menjuarai acara tricks bawah 17 tahun dengan jumlah catatan 4,320 mata.

Pingat emas kedua negara disumbangkan oleh peserta muda, Aiden Yoong Hanifah, 10, yang melakukan kejutan dengan mengatasi peserta-peserta senior Indonesia dalam acara tricks lelaki bawah 17 tahun.

Adik lelaki Aiden, Adam, 8, turut menampilkan aksi terpuji apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara sama, menurut kenyataan Persekutuan Ski Air & Papan Luncur Malaysia (MWWF) hari ini.

Sementara itu, Arianna, yang hanya melakukan persiapan selama dua minggu ke kejohanan ini, berkata beliau gembira dengan keputusan itu sambil mengucapkan terima kasih kepada jurulatih fizikal dari Institut Sukan Negara (ISN) yang memainkan peranan utama dalam proses pemulihannya.

Jurulatihnya, Phillipa Yoong, turut memuji anak buahnya itu atas persembahan cemelang biarpun hanya berlatih selama dua minggu untuk menghadapi kejohanan itu.

Dua lagi peserta negara - Aaliyah Yoong Hanifah dan abangnya Alex Yoong masing-masing akan bersaing dalam acara final acara tricks, slalom dan jump wanita dan acara lelaki tricks dan jump pada hari terakhir esok.

-- BERNAMA

Berita Harian X