Ahad, 8 November 2015 | 12:16pm
ANTARA penonton yang hadir pada Konsert M Nasir ...Kembara di Stadium Melawati, Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SKETSA pembukaan oleh Sabri Yunus pada konsert M Nasir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Konsert Kembara M Nasir labuh tirai di Shah Alam


M Nasir mempersembahkan kira-kira 20 lagu popularnya pada konsert berdurasi lebih tiga jam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir menutup tirai siri jelajah Konsert M Nasir ...Kembara dengan persembahan bertenaga di hadapan 10,000 penonton di Stadium Malawati, di sini, semalam.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, mempersembahkan kira-kira 20 lagu popularnya pada konsert berdurasi lebih tiga jam itu.

Biarpun sudah berkecimpung dalam persada seni tempatan selama empat dekad, ternyata M Nasir masih mampu memukau penonton yang hadir.

Persembahan penyanyi yang mendapat gelaran sifu dalam kalangan penyanyi tempatan itu dimulakan dengan dendangan puisi oleh pelawak dan pengarah, Sabri Yunus.

M Nasir tampil di pentas mewarnakan kanvas berwarna hitam bagi menzahirkan emosinya. Karyawan kelahiran Singapura itu menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Mustika, Phoenix Bangkit, Andalusia, Keroncong Untuk Ana, Bonda, Juwita, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan banyak lagi.

Dia turut mempelawa peminat untuk turut sama berdansa mengikut irama lagu yang dipersembahkannya. Penonton yang berada di bahagian atas stadium berpusu-pusu ke hadapan pentas untuk berjoget bersama-sama penyanyi lagenda itu.


FYNN Jamal membuka tirai sebagai artis pembukaan bagi konsert M Nasir. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lagu Mentera Semerah Padi menjadi klimaks konsert apabila peminat rata-rata berdiri dan berjoget mengikut lenggok M Nasir.

Kehangatan konsert diteruskan dengan dendangan lagu Sentuhan Listrikmu yang mendapat tepukan gemuruh dari semua yang hadir.M Nasir menyampaikan lagu Langgam Pak Dogo atas permintaan peminat menginginkan beliau terus membuat persembahan.

Kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal membuka tirai sebagai artis pembukaan bagi konsert M Nasir itu.

Stadium Malawati adalah lokasi terakhir bagi Konsert M Nasir... Kembara setelah menjelajah ke tiga buah negeri iaitu Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

dibaca
Berita Harian X