Ahad, 8 November 2015 | 6:04pm

66 ditahan di ladang sawit Melaka kerana dadah

PENGARAH AADK Melaka, Mohamad Yusof Kameh ketika sidang media selepas operasi AADK di sebuah ladang kelapa sawit, di Tanjung Keling. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENGARAH AADK Melaka, Mohamad Yusof Kameh ketika sidang media selepas operasi AADK di sebuah ladang kelapa sawit, di Tanjung Keling. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Seramai 66 lelaki dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah ladang kelapa sawit, di Tanjung Keling di sini.

Pengarah AADK Melaka, Mohamad Yusof Kameh berkata operasi bersepadu selama tujuh jam mulai 5 pagi tadi itu turut disertai pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Lima daripada yang ditahan disyaki pengedar dadah berusia antara 20 hingga 45 tahun. Kita merampas dadah jenis heroin seberat 32 gram.

"Mereka ini ditahan ketika menjalankan aktiviti jual-beli dadah di ladang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini, hari ini.

Mohamad Yusof berkata semua suspek berusia antara 19 dan 56 tahun itu akan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh untuk ujian saringan sebelum dikenakan tindakan.

Katanya, pihaknya juga mengenal pasti beberapa lokasi sarang penagihan di Melaka dan operasi akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memerangi gejala dadah.

Beliau berkata sebanyak 20 lokasi sarang penagih dadah sudah dibersihkan agensi itu dalam tempoh Januari sehingga hari ini.

"Kita sasar untuk membersihkan sebanyak 38 sarang penagihan dadah di negeri ini menjelang akhir tahun ini.

"Usaha pembersihan ini adalah program di bawah 'My Beautiful Malaysia' dan kita akan teruskan ke lokasi yang telah kita kenal pasti di seluruh negeri,"

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X