Isnin, 9 November 2015 | 12:05am
PEMENTASAN Main Puteri 'Angin Tohor' yang dilakonkan oleh Ismadian Ismail sebagai pesakit di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan
KETUA pemuzik, Hassan Jantan bermain 'rebab' ketika pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan
TOK Teri Che Mat Jedok bersama penulis novel, Sutong pada pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan

Main puteri rawat jiwa sakit

TOK Teri Che Mat Jedok melakukan upacara perubatan dengan menari mengikut irama tradisional pada pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan

MAIN Puteri-Angin Tohor tidak seperti sebahagian tradisi Melayu yang 'muncul' atas faktor hiburan bagi masyarakat pada sesuatu era. Seni yang berasal dari Kelantan itu mempunyai kisahnya tersendiri.

Main puteri asalnya seni perubatan tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak beberapa abad yang lampau bagi mengubati mereka yang kononnya memiliki jiwa yang sakit.

Presiden Kelab Kesenian dan Kebudayaan Kampung Pulau Tebu, Kota Bharu, Kelantan (KKKKPTKB), Mohd Asmawi Isa, berkata pesakit bukan mengalami penyakit biasa yang boleh dirawat dengan penggunaan ubat tertentu, sebaliknya ia lebih kepada penyakit kejiwaan.

"Pesakit ada sesuatu yang diminati tetapi hasrat itu tidak dapat dipenuhi sehingga menyebabkan sistem pertahanan dalamannya menjadi kacau-bilau.

"Pesakit akan berjumpa dengan Tok Puteri untuk meminta bantuan bagi mengesan 'angin' atau minat mereka yang ada bermacam-macam daripada makyung dan silat sehinggalah memanah.

PENARI iringan diberi pisang oleh Tok Tei Che Mat Jedok pada pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan

Pesakit diajak main puteri

"Justeru, proses itu dipentaskan kembali sehingga 'pesakit' berkenaan sembuh selepas diajak main puteri," katanya kepada Sastera BH selepas Pementasan Main Puteri-Angin Tohor di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru.

Meskipun asalnya berperanan sebagai perubatan tradisional, elemen tarian dan nyanyian yang sememangnya terdapat dalam main puteri menyebabkan ia sesuai dipentaskan.

Penonton yang hadir berkesempatan menyaksikan upacara menurun yang menyaksikan kononnya 'angin' pesakit akan dipindahkan kepada Tok Puteri yang bertindak sebagai pengantara.

Sepanjang proses itu, watak Tok Puteri akan berubah perwatakan kepada pelbagai watak seperti Tok Bomoh, Tok Dalang Wayang Kulit, Tok Pendekar dan Awang Pengasuh untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit.

SEKUMPULAN penari iringan melakonkan babak disumpah menjadi monyet pada pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan

Dialog cungkil rahsia pesakit

Mohd Asmawi berkata, Tok Puteri bukan saja akan berdialog dengan Tok Minduk bagi mengetahui rahsia penyakit dideritai pesakit, malah tampil diiringi pemuzik yang memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.

Beliau berkata, elemen muzik dan unsur nyanyian itu menuntut keupayaan Tok Puteri bagi mengalunkan pelbagai lagu serta rentak daripada lagu paluan bertabuh dalam wayang kulit kepada lagu dalam makyung," katanya pada acara bersempena program Panggung Seni Tradisional 2015 itu.

"Meskipun terdapat beberapa pandangan berbeza mengenai sejarah dan asal-usul main puteri, sejak sekian lama, ia berperanan sebagai muzik terapi yang dapat merawat pesakit yang mempunyai masalah.

"Ada banyak persepsi yang timbul mengenai perubatan tradisi ini tetapi tiada sebarang unsur pemujaan atau khurafat yang dipentaskan.

TOK Teri Che Mat Jedok melakukan upcacara 'pelepasan' kepada pesakit dan penari iringan sebelum bersurai pada pementasan Main Puteri 'Angin Tohor' di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan. - Foto Nik Hariff Hassan

Perkenal pada pelancong asing

"Ini kerana main puteri dipentaskan dengan hasrat memperkenalkan perubatan tradisi yang terkenal di Kelantan untuk dinikmati masyarakat termasuk pelancong asing," katanya pada acara anjuran PETRONAS dan JKKN.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Liz Kamaruddin, berkata pihaknya sudah lama terbabit dalam usaha melestarikan khazanah budaya bermula dengan penubuhan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS pada tahun 1989.

"Selain main puteri oleh KKKKPTKB yang juga penerima Geran Seni Budaya Petronas, pihak kami turut membantu melestarikan seni warisan seperti zapin, kuda kepang, wayang purwo, jikey, makyung, rodat, wayang kulit dan persembahan teater klasik India, Bharatanatyam.

"Sejak penubuhan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS, pihak kami sudah menyumbang sebanyak RM4 juta kepada 27 kumpulan di seluruh negara sehingga tahun 2012," katanya.

Berita Harian X