Isnin, 9 November 2015 | 8:08am

Kepentingan kuasai bahasa Inggeris

PETANDA serius masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah sudah lama dibangkitkan. Hal ini memang 'isu panas' terutama bagi ibu bapa dan majikan yang bimbang, namun belum ada kepastian.

September lalu, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) merangka satu tinjauan ringkas dalam talian secara 'anonymous' untuk memperoleh pandangan awam pentingnya kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Hanya dalam tempoh seminggu, lebih 90 peratus daripada 190,000 responden memberi maklum balas positif untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di sekolah. Tinjauan ini tersebar secara 'viral' dengan pantas, di luar jangkaan saya.

Ke mana-mana pun saya pergi, orang akan memberitahu saya bahawa mereka sudah memberi respons dan memuji usaha kerajaan untuk mencari penyelesaian. Ramai responden luar bandar daripada baki 10 peratus turut sependapat. Kerajaan juga prihatin akan kebimbangan disuarakan golongan luar bandar mengenai kemampuan anak mereka sekiranya peraturan umum dibuat untuk mengajar subjek teras dalam bahasa Inggeris.

Dua program baharu

Perbincangan bersama mereka yang ada kepentingan, berserta hasil tinjauan yang dikumpul membolehkan Kementerian Pendidikan, menerusi makmal bahasa Inggerisnya meyakinkan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri. Makmal diselenggarakan oleh Unit Prestasi dan Pelaksanaan (PADU) dan PEMANDU dalam bulan Julai memperkenal dua program baharu di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) iaitu Program Highly Immersive (HIP) dan Program Dual Language (DLP).

Bajet 2016 memperuntukkan RM135 juta untuk menyokong program itu. Malah, RM38.5 juta daripada peruntukan ini diagihkan kepada projek perintis untuk melancarkan kedua-dua program HIP dan DLP pada 2016. Aktiviti sokongan HIP sebenarnya bukan perkara baharu kerana program ini adalah peneguhan kepada pekeliling iktisas 1999 yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan.

Yang baharu cuma pendekatan diambil - pemerkasaan sekolah, oleh sekolah, untuk sekolah. Menjelang akhir 2016, dijangka 1,000 sekolah akan melaksanakan HIP. Sementara itu, DLP pula membabitkan pengajaran subjek seperti Matematik, Sains, Teknologi Reka Bentuk dan ICT dalam bahasa Inggeris.

Fasa awal membabitkan 300 sekolah yang cukup syarat. Bagi memastikan usaha ini berjaya, kami perlukan pemimpin sekolah yang bersetuju melaksanakan program ini, guru yang berkemampuan mengajar bahasa Inggeris serta ibu bapa yang mahukan program ini.

Namun, sekolah yang terbabit, wajib mematuhi syarat tahap penguasaan bahasa Melayu ditetapkan Kementerian Pendidikan. Saranan mengenai HIP dan DLP daripada makmal bahasa Inggeris disokong sepenuhnya Perdana Menteri; bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Majlis Ekonomi, Kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Pilih kaedah terbaik

Memandangkan pandangan yang jelas berbeza mengenai pengajaran subjek lain dalam bahasa Inggeris, kerajaan ambil jalan tengah. Kami percaya cara terbaik mengendalikan perbezaan ketara ialah pendekatan 'bawah ke atas,' yakni, dengan memperkenalkan elemen 'pilihan' kepada sekolah dan ibu bapa. Kini, penentuan masa depan anak terletak dalam tangan ibu bapa, tanpa perlu gadai penguasaan bahasa Melayu.

Demi memastikan tahap penguasaan bahasa Melayu tidak terketepi, Kementerian Pendidikan bersama PADU dan PEMANDU akan menjalankan sebuah makmal pada 2016 untuk mengkaji hal ini. Ada kira-kira 70,000 guru bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan. Terkini, hampir 12,000 guru dari tiga kohort telah dipertingkatkan kemahiran mereka dalam tempoh menjangkaui setahun.

Ramai yang tidak sudah-sudah mengkritik kerajaan kerana tidak mengambil pegangan wajar untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris. Antara kolum saya (http://bit.ly/1l8UFFD), saya sudah sebut mengenai empat gugusan- guru besar, guru, ibu bapa dan pelajar - semuanya harus sejajar dan selari bagi memastikan kehebatan sesebuah sekolah. Namun, yang lebih penting, sekiranya pembaca sedar, pengagihan kuasa pemutus dan pemerkasaan sekolah serta ibu bapa sudah bermula. Kini, masa depan anak anda dalam tangan anda sendiri.

Berbalik kepada isu kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, saya akui betapa besarnya hikmah saya membesar di ceruk pedalaman tanah tinggi di Sarawak. Tarikan hidup di kawasan kampung ada batasnya. Justeru, saya menjadi pustakawan di sekolah kerana sikap saya yang amat dahagakan ilmu. Itulah caranya saya dapat membaca sebanyak buku yang saya mahu dan menyingkap kehidupan dunia luar.

Di sinilah bermulanya penguasaan bahasa Inggeris yang cukup mendalam buat saya. Saya bekerja dengan Shell, sebuah syarikat antarabangsa, selama 23 tahun. Bertugas di London, Belanda dan Sri Lanka - tidak mungkin saya mampu mencapai kecemerlangan dalam kerjaya saya tanpa penguasaan bahasa Inggeris. Kemampuan berbahasa memang penting untuk mendapatkan kerja, namun, keyakinan dalam penguasaan bahasalah yang menyerlahkan kehebatan kita apabila digandingkan dengan rakan global.

Berita Harian X