Isnin, 9 November 2015 | 9:17am

Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. - Foto Malai Rosmah Tuah
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 25 November, berkuat kuasa mulai 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata perintah berkurung yang masuk fasa ke-31 itu merangkumi tujuh daerah di kawasan pantai timur Sabah, membabitkan jarak tiga batu nautika.

Daerah terbabit ialah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, para penyelidik antarabangsa, pelancong dan rakyat Sabah di daratan ESSZone.

"Kita mahu pastikan ancaman penculikan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina dapat dihindarkan kerana maklumat mendedahkan kegiatan 'Kidnapping For Ransom' (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lanjutan perintah berkurung itu juga memudahkan penguat kuasa memantau pergerakan bot yang mencurigakan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Katanya, keputusan melanjutkan perintah berkurung itu turut mendapat sokongan pengusaha chalet dan pihak yang terbabit dalam aktiviti perikanan demi menjamin keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di sempadan.

Katanya, kuasa diberi kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X