Isnin, 9 November 2015 | 10:18pm

Penghuni pangsapuri perkhidmatan dapat kemudahan awam

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - Foto Surianie Mohd Hanif

PUTRAJAYA: Penghuni pangsapuri perkhidmatan dijangka mendapat kemudahan awam seperti kawasan perumahan lain dengan pembentukan dua garis panduan perancangan (GPP) iaitu GPP Pangsapuri Perkhidmatan dan GPP Pembangunan Bercampur Pelbagai.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ketika ini dasar dan pelaksanaan pangsapuri perkhidmatan adalah berbeza di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ia juga tidak tertakluk kepada syarat pembangunan perumahan iaitu penyediaan kemudahan awam dan tiada kawalan harga jualan.

"Pembeli tidak sedar dari awal tentang kos tinggi untuk mendiami pangsapuri perkhidmatan yang mempunyai kadar tarif utiliti dan cukai hartanah lebih tinggi kerana ia didirikan di atas tanah perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Katanya, MPFN juga mengambil maklum cadangan untuk mengkategorikan pangsapuri perkhidmatan sebagai pembangunan perniagaan dan bukan kediaman kekal.

Abdul Rahman berkata pelaksanaan pembangunan pangsapuri perkhidmatan perlu dikaji semula memandangkan ia telah meningkat naik dan menjadi trend gaya hidup masa kini sejak ia bermula pada 1998.

Pada suku keempat 2014, terdapat sebanyak 63,689 unit pangsapuri perkhidmatan yang sedia ada di negara ini manakala 83,968 unit pula sedang dalam pembinaan dan 71,569 unit lagi telah lulus pelan pembangunan.

Antara negeri yang mempunyai jumlah unit pangsapuri perkhidmatan tertinggi ialah Johor iaitu 78,571; diikuti Kuala Lumpur (61,489); Selangor (56,527); Negeri Sembilan (8,426) dan Pahang (4,250).

Selain itu, beliau berkata mesyuarat MPFN turut membincangkan perancangan susun atur pembangunan Bandar Amanjaya Kedah, status pelaksanaan keputusan Dasar MPFN, status pelaksanaan pelan induk rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine di Semenanjung dan Laporan Kemampanan Bandar Malaysia bagi tahun 2014.

-- BERNAMA

Berita Harian X