Selasa, 10 November 2015 | 2:11pm
MALIM Ghozali PK. - Foto Farhan Najib

2 novel terjemahan Malaysia disenarai Anugerah Sastera Dublin


SAFIYA Alias, 25, menunjukkan buku 'On Justice And The Nature Of Man'. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Dua novel terjemahan Malaysia, Tree of Sorrow karya Malim Ghozali Pk dan The Michelangelo Code oleh Nazehran Jose Ahmad disenaraikan pada peringkat awal untuk Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016.

Anugerah berkenaan sebelum ini dikenali Anugerah Sastera Antarabangsa IMPAC Dublin dan menawarkan hadiah utama bernilai kira-kira RM470,000 (STG100,000).

Dalam kenyataannya, penganjur Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016 berkata, sebanyak 160 judul dicalonkan oleh perpustakaan dari seluruh dunia.

"Pencalonan itu termasuk 53 novel terjemahan ke bahasa Inggeris.

"Calon yang disenaraikan pula adalah membabitkan daripada beberapa negara seperti Ireland sebanyak 7 karya; Amerika Syarikat (44); Britain (25); Kanada (9); Australia (10); Jerman (6) dan Afrika Selatan (3).

"Anugerah ini sudah memasuki tahun ke-21 penganjurannya, sekali gus memberi sumbangan besar kepada dunia sastera di Dublin," kata kenyataan yang dipetik di laman web Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016.

Novel Tree of Sorrow karya Malim Ghozali Pk atau nama sebenarnya, Mohamed Ghazali Abdul Rashid diterjemahkan oleh pengarang itu sendiri daripada karya asalnya, Luka Nering, manakala The Michelangelo Code dialih bahasa oleh Anis Mansor.

Sementara itu, Mohamed Ghazali berkata, novelnya diangkat daripada sejarah kesultanan Melayu di negara ini pada zaman moden dengan melihat dalam kerangka kebenaran.

"Selama ini kita hanya menelan cerita yang ditulis oleh pengarang Barat sehingga kita memerlukan pengarang tanah air untuk menghasilkan karya secara jujur.

"Novel ini saya hasilkan dengan semangat untuk menulis sejarah Tanah Melayu dengan jiwa orang Melayu, sekali gus mengungkapkan kebenaran meskipun ia pahit untuk ditelan," katanya kepada BH, sebentar tadi.

Tree of Sorrow diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala The Michelangelo Code pula AuthorHouseUK.

39 dibaca
Berita Harian X