Selasa, 10 November 2015 | 4:25pm

Vietnam minat contohi pasaran bon Malaysia

 SETIAUSAHA Agung Persatuan Pasaran Bon Vietnam, (VBMA) Do Ngoc Quynh.
SETIAUSAHA Agung Persatuan Pasaran Bon Vietnam, (VBMA) Do Ngoc Quynh.

KUALA LUMPUR: Vietnam berhasrat mencontohi model Malaysia dalam membangunkan pasaran bon bagi membiayai ekonominya yang semakin berkembang dan peningkatan minat terhadap dana infrastruktur jangka panjang, kata Setiausaha Agung Persatuan Pasaran Bon Vietnam, (VBMA) Do Ngoc Quynh.

Selama ini negara itu bergantung terhadap pembiayaan bank tetapi dengan permintaan yang meningkat terutamanya pembiayaan bagi projek infrastruktur jangka sederhana dan panjang, ia perlu menubuhkan pasaran hutang, memandangkan kekangan yang dihadapi bank-bank.

Quynh berkata, pada masa ini Malaysia adalah yang terbaik di rantau ini dari segi saiz pasaran bon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Saya berpendapat kerajaan dan bank pusat Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam membangunkan pasaran bon domestik.

"Kami mendapat sokongan yang sangat baik semasa lawatan kami ke Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), PPKM (Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia), bank-bank dan terutamanya RAM (Holdings Bhd), yang berkongsi pengalaman mereka dengan kami mengenai bagaimana pasaran bon Malaysia dibangunkan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini selepas lawatan kerja dua hari.

Quynh mengetuai delegasi 24 anggota yang terdiri daripada para pegawai kanan pihak berkuasa kawal selia, Kementerian Kewangan, Bank Negara Vietnam, Bursa Saham Hanoi serta beberapa wakil organiasasi perbankan dan pelaburan Vietnam.

Quynh yang juga Ketua Perbendaharaan Bank Pelaburan dan Pembangunan Vietnam (BIDV), berkata pembangunan pasaran bon negaranya masih di peringkat awal.

"Kami dalam usaha menambah baik kualiti tawaran, menyusun semula bon yang belum diselesaikan di pasaran, memperbaharui proses penerbitan dan memperluaskan asas pelabur, kerana bank-bank komersial adalah peserta utama dengan lebih 80 peratus pemegangan.

"Setakat ini kami bergantung kepada pelabur tempatan terutamanya bank-bank komersial dan tidak mempunyai banyak pelabur asing seperti di Malaysia," katanya.

Jumlah pasaran bon Vietnam berbanding KDNK hanya pada 22 peratus sehingga

Disember tahun lepas manakala saiz pasaran bon Malaysia sebanyak US$315 bilion dan berbanding dengan KDNK adalah 103 peratus, ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea. (US$1 > RM4.35).

Pasaran bon Vietnam setakat 30 Jun lalu ialah pada US$43 bilion, dengan bon kerajaan menguasai 98.7 peratus manakala bon korporat hanya 1.3 peratus.

Nisbah peratusan bon korporat Malaysia kini kira-kira 40 peratus dan bon kerajaan sekitar 60 peratus, dan negara boleh mendakwa menjadi modal sukuk (bon Islam) dunia dengan lebih 60 peratus penerbitan sukuk dunia berlaku di Malaysia.

Bon korporat Vietnam diterbitkan oleh bank-bank pada US$13.16 bilion, kebanyakan pinjaman hartanah.

Jumlah pinjaman sistem perbankan sehingga Disember tahun lepas ialah US$189 bilion dengan pinjaman korporat menyumbang 75 peratus, empat kali ganda saiz jumlah pasaran bonnya, yang menunjukkan peluang yang luas untuk pertumbuhan.

"Ekonomi Vietnam semakin berkembang, kami menyaksikan lebih banyak syarikat swasta besar yang berjaya dalam perniagaan dan meningkat kredibiliti di pasaran dan mereka pada kedudukan yang baik untuk menerbitkan bon korporat.

"Syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Vietnam Electricity (EVN), Vinacomin TKV (Vietnam National Coal and Mineral Industries Group) dan PetroVietnam, dan syarikat swasta seperti VinPearl dalam hartanah, akan diterima baik oleh pelabur sekiranya mereka menerbitkan bon," kata Quynh.

"Banyak pihak berkepentingan di Malaysia boleh menjalankan perkhidmatan perundingan bagi pelbagai pihak berkepentingan di Vietnam dalam usaha membangunkan pasaran bon kami di masa depan.

"Pelabur dan penerbit di kedua-dua negara boleh bekerjasama, terutamanya dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN dan dengan standard penerbitan (bon) bagi rantau ini, kedua-dua pihak boleh melabur dalam bon di kedua-dua negara, dan di ASEAN," katanya.

Kecairan pasaran bon semasa Vietnam lebih ke arah penerbitan di bawah lima tahun, yang menunjukkan pasaran bon yang baru, demikian menurut mereka yang biasa dengan perkara berkenaan.

Vietnam mempunyai penduduk hampir 90 juta orang, tiga kali ganda Malaysia, tetapi saiz pasaran bonnya hanya satu per tujuh daripada Malaysia.

RAM telah melawat Vietnam beberapa kali pada 2015 dan VBMA dan RAM berpendapat bahawa Vietnam berpotensi untuk pertumbuhan dalam pasaran bon korporat dalam 10 tahun akan datang.

Ia mempunyai ciri-ciri yang sama seperti Malaysia semasa tahun 1990an apabila pinjaman bank kepada syarikat korporat besar bagi projek-projek infrastruktur mempunyai had pelanggan disebabkan modal yang kecil, projek-projek infrastruktur utama semakin meningkat yang menunggu pembiayaan dan korporat besar meninjau cara baru mendapat dana yang besar yang tidak boleh ditawarkan bank.

"Pelabur pasaran di Vietnam telah bersedia dan berupaya menerima kemahiran baharu bagi pasaran bon korporat kerana pasaran bon kerajaan telah aktif pada lebih US$40 bilion," kata seorang pakar industri tempatan yang enggan dikenali.

Keperluan dana infrastruktur jangka panjang Vietnam yang semakin meningkat dan rancangannya untuk mencontohi pembangunan pasaran bon Malaysia, disambut baik di Malaysia, yang berhasrat mengeksport kejayaan dan pengalaman bonnya kecpasaran baru muncul dan berpotensi.

"Pengawal selia Malaysia Bank Negara Malaysia dan eksekutif utama SC selalu menggalakkan institusi kewangan Malaysia supaya mengeksport perkhidmatan dan kepakaran kewangan mereka ke pasaran baru, tetapi kejayaan pasaran bonnya tidak berlaku dengan mudah dan banyak pelabur yang terbabit dalam mempromosikannya," katanya yang veteran dalam industri.

-- BERNAMA

Berita Harian X