Khamis, 12 November 2015 | 12:42am

Erma Fatima di mata Ogy Ahmad Daud

OGY Ahmad Daud dan Erma Fatima. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Suatu ketika dahulu, satu 'Malaya' tahu yang Ogy Ahmad Daud dan Erma Fatima memang tidak sebulu.

"Perang' mereka pernah dipersembahkan menerusi t telefilem Pengantin Popular, lebih 20 tahun lalu. Telefilem itu menarik perhatian ramai malah turut mencipta kontroversi kerana mengungkit perang mulut yang pernah terjadi antara mereka selain memaparkan sisi negatif beberapa watak yang benar-benar wujud.

Drama arahan Rashid Sibir terbitan BNE Production itu bersiaran menerusi slot Cerekarama TV3 sekitar 1994. Bagaimanapun seiring dengan peredaran masa dan peningkatan usia, kedua-duanya akhirnya nekad melupakan sengketa lama.

Ibarat kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.... hubungan kedua-duanya kini kembali mekar umpama kakak dan adik.

Sebelum ini Erma sendiri sudah memaklumkan yang dia mendekati Ogy dengan bantuan Datin Umie Aida sekitar September lalu untuk mengajaknya berlakon dalam teater Mak Cun itu. Ogy bagaimanapun dalam kenyataan balasnya mengakui mahu meneliti skrip terlebih dulu selain memberitahu hubungan mereka sudah kembali jernih.

Akhirnya, bagaikan dirahmati, Ogy akhirnya sudi berlakon teater berkenaan yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 14 hingga 22 November ini. Persetujuan Ogy itu bersyarat dan Erma sedia berkompromi.

"Memang saya letakkan syarat kerana terikat dengan komitmen Pencetus Ummah dan saya juga menolak untuk menyanyi dalam teater ini kerana masa terlalu singkat. Saya tak mahu ambil risiko," katanya kepada BH Online.

Ogy turut ditanya mengenai Erma di matanya?

"Dia sangat bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam kerjayanya. Pendek kata dia jenis yang tak reti berehat. Saya sendiri pun ada masa berehat. Saya lihat, kalau nakkan sesuatu... dia pasti akan berusaha dapatkan. Terus terang ketika saya mengambil masa lama untuk beri jawapan untuk terbabit dengan teater Mak Cun atau tidak, dia termasuk Umie Aida dan Betty Rahmad tak putus-putus menghubungi saya.

"Cuma ada ketikanya, saya tak dapat menjawab panggilan itu kerana sibuk mengajar di Pencetus Ummah. Selain itu, Erma juga seorang yang berjaya tak kira sebagai artis, pengkarya seni, manusia mahupun ahli perniagaan. Dia ada visi dan misi. Dia yakin kepada diri. Dia memberi contoh yang baik untuk bakat baru," katanya.

Kali terakhir Ogy beraksi dalam pementasan teater pula adalah pada 2004 untuk teater Deja Vu. Tahun ini dia kembali menerusi teater Mak Cun.

Teater ini turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 22 November hadapan.

Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X