Khamis, 12 November 2015 | 7:00am

Penggunaan vape perlu kawal selia

KERATAN laporan berkaitan kecederaan dialami pengguna e-rokok pada muka depan akhbar BH, 11 November.

RAMAI orang membuat pelbagai kenyataan mengenai rokok elektronik (e-rokok) atau vape sejak kebelakangan ini. Kenyataan kadangkala keliru dengan realiti penelitian mengenainya. Saya ingin berkongsi antara hal yang saya bahas di Parlimen Belia apabila diminta mengulas isu penggunaan vape di Malaysia daripada aspek kesihatan.

Rakyat Malaysia harus menyokong hasrat Kementerian Kesihatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas asap menjelang 2035. Ini baik untuk kesihatan dan memberi manfaat positif kepada alam persekitaran.

Membahas isu cadangan pengharaman vape kerana khuatir ia menjadi ancaman kesihatan, pihak berwajib mesti terlebih dulu memeriksa beberapa hasil penelitian yang dibuat selama ini.

Penilaian ilmiah

Semua maklum, satu-satu hasil penelitian yang baik berkaitan dengan kesihatan manusia bergantung kepada banyak faktor.

Sebagai contoh ia termasuk jumlah sampel dan tempoh lamanya satu-satu penelitian dibuat. Jenis penelitian juga memainkan peranan penting yang mampu mempengaruhi hasil penelitian. Antara penelitian mengenai vape yang boleh diguna pakai dalam membuat penilaian ilmiah terhadap kesan penggunaannya kepada manusia adalah penelitian yang dijalankan oleh University College London, ASH, dan ITC UK diguna pakai dalam Laporan Kesihatan Awam England.

Penelitian ini menggunakan ramai responden dan penelitian paling lama dibuat mengenai kesan vape terhadap manusia iaitu sejak 2006, dua tahun selepas ia dicipta di China.

Dalam laporan terbaru E-Cigarette: Evidence Update, terbitan Ogos 2015 oleh Public Health England yang berpandukan penelitian tadi, ada beberapa kesimpulan iaitu:

  • Perokok yang mencuba kaedah berhenti merokok tetapi masih gagal berhenti merokok disarankan beralih kepada rokok elektronik;
  • Menggalakkan perokok yang gagal berhenti atau tidak mahu berhenti merokok kepada e-rokok mampu mengurangkan risiko mereka terdedah kepada bahaya penyakit asap rokok atau kematian;
  • Tidak ada bukti e-rokok mengganggu peratusan orang untuk berhenti merokok, malah kemungkinan ia mampu membantu meningkatkan kadar henti rokok. Kajian dalam kalangan bukan perokok pula membuktikan peratusan yang sangat kecil e-rokok menyebabkan orang mula merokok;
  • Kajian membuktikan e-rokok membantu perokok untuk berhenti merokok atau mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari;
  • Apabila digunakan mengikut ketetapan, e-rokok tidak menyebabkan keracunan nikotin pada pengguna;
  • Persepsi bahawa penggunaan e-rokok sama bahaya seperti kesan rokok adalah tidak tepat dan pakar mengeluarkan kenyataan bahawa e-rokok adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok; dan
  • Penelitian mendalam mengenai e-rokok adalah disarankan bagi mengetahui lebih lanjut kesannya pada manusia.

(Butiran terperinci terhadap setiap kesimpulan di atas dapat disemak di laman web rasmi Kerajaan UK. (www.gov.uk)

Mitos bahaya e-rokok mungkin boleh dijawab secara ilmiah melalui laporan itu. Jika ada pihak yang ingin mempertikai hasil laporan kononnya ia didalangi pihak tertentu, bantahan mesti secara ilmiah bersandarkan hasil penelitian yang boleh mencanggah, bukan sekadar persepsi.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diambil perhatian supaya penggunaan vape selamat untuk semua. Justeru, seperti yang digesa oleh Parlimen Belia, undang-undang kawal selia penggunaan e-rokok di Malaysia adalah sangat penting.

Sebagai contoh, peraturan bagi cecair vape mesti mendapat kelulusan pihak berkaitan selepas pemeriksaan sewajarnya. Apabila hal ini tidak dikawal, pengusaha cairan vape mungkin mencampur pelbagai bahan bagi menghasilkan cecair yang laris. Hal ini pernah berlaku antaranya penemuan beberapa jenis dadah, perasa yang tak dibenarkan dan gam pelekat yang dicampur dalam cecair vape. Ini membahayakan nyawa.

Contoh lain adalah hak penjualan vape. Jika cecair dengan pelbagai bahan kimia ini boleh dijual sewenang-wenangnya, kesan jangka panjang seperti 'over-dose' mungkin berlaku. Cecair yang mengandungi nikotin tertakluk kepada Akta Makanan dan penjualannya mesti dikawal.

Perkara ketiga adalah kawalan umur pengguna e-rokok atau vape. Kita bimbang anak seusia tujuh tahun mula terjebak dengan gejala ini. Larangan menggunakan e-rokok/vape di kawasan awam atau kawasan tertentu mesti dipertimbangkan dalam peraturan kawal selia e-rokok supaya hak bukan merokok juga dapat dijaga.

Orang awam diutama

Tanpa peraturan, orang yang menggunakan e-rokok kini bebas menghembuskan asap rokok elektronik mereka di tempat awam dan tempat larangan merokok hingga mengganggu orang lain. Hal ini dibincangkan pada sesi persidangan Parlimen Belia yang lalu dan akhirnya Dewan bersetuju untuk menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang bagi mengawal selia penggunaan e-rokok atau vape di Malaysia.

Tindakan Kementerian Kesihatan merampas cecair vape di premis jualan selepas kerajaan memutuskan ia tidak akan diharamkan adalah terburu-terburu dan menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Justifikasi mesti dikeluarkan oleh kementerian kerana seperti yang dikatakan oleh ramai orang, jika bahaya kesihatan masih tidak jelas oleh cecair vape yang dipermasalahkan, ke napa tidak rampas rokok tembakau yang jelas menimbulkan pelbagai bahaya kesihatan.

Berita Harian X